EKONOMI

Amphenol Buka Kemudahan Baharu Di Pulau Pinang

26/10/2024 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Amphenol DC Electronics Malaysia Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan kejuruteraan, reka bentuk dan pembuatan global membuka kemudahan baharu seluas 70,000 kaki persegi di Pulau Pinang, dan akan membuka fasa kedua tambahan 60,000 kaki persegi.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata pengembangan ini meningkatkan operasi Amphenol di rantau ini dengan ketara, menunjukkan komitmennya terhadap pertumbuhan dan inovasi di Malaysia sambil meningkatkan kapasiti dan keupayaannya.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata keputusan syarikat itu untuk beroperasi di negara ini memperlihatkan reputasi Malaysia yang kukuh dalam industri elektrik dan elektronik global.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Amphenol atas pelancaran kemudahan pembuatan baharu mereka di Malaysia.

“Kami komited untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi, bernilai tinggi yang memacu inovasi dan mewujudkan peluang pekerjaan mahir untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, pengarah kilang Amphenol Chan Chee Wey berkata kemudahan baharu itu akan membolehkan syarikat memenuhi permintaan yang semakin meningkat, mempercepatkan inovasi dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi Malaysia.

Kemudahan baharu itu, yang dilengkapi untuk pemasangan kabel dan binaan kotak, akan berfungsi sebagai hab utama bagi pembuatan, mewujudkan 300 pekerjaan dan memupuk tenaga kerja tempatan dalam industri semikonduktor Malaysia.

Kemudahan tercanggih ini menekankan komitmen Amphenol terhadap inovasi, kemampanan dan pertumbuhan serantau, katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy