SUKAN

Aksi Ulangan Final Antonsen-Yu Qi

12/01/2025 12:22 AM

KUALA LUMPUR, Jan 11 (Bernama) -- Pertemuan ulangan final edisi tahun lepas antara juara bertahan Anders Antonsen dari Denmark dengan pemain nombor satu dunia Shi Yu Qi dari China akan berlangsung pada Terbuka Malaysia di sini esok.

Antonsen, 27, mara ke final selepas menewaskan pilihan kelapan Kodai Naraoka dari Jepun 21-14, 21-14 dalam masa 57 minit, pada aksi seprauh akhir di Axiata Arena Bukit Jalil di sini, hari ini.

Pilihan utama Yu Qi pula bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan rakan senegara dan pilihan ketujuh Li Shi Feng 16-21, 21-5, 21-12 dalam satu lagi aksi separuh akhir perseorangan lelaki.

Antonsen, pemain nombor dua dunia, amat berpuas hati kerana berjaya mengatasi perlawanan yang panjang dan mencatatkan kemenangan kelima daripada sembilan pertemuan menentang Naraoka setakat ini.

“Untuk perlawanan esok, saya akan dianggap sebagai ‘underdog’ tetapi saya akan berusaha sebaik mungkin untuk berjuang dengan segala yang saya ada dan cuba menikmati pengalaman bermain di Axiata Arena sekali lagi,” katanya kepada wartawan selepas perlawanan.

Tahun lepas,  Antonsen menumpaskan jaguh China itu dalam straight set 21-14, 21-13 di pentas final.

Sementara itu, dalam acara perseorangan wanita, pilihan utama An Se Young dari Korea Selatan berpeluang untuk mempertahankan gelarannya selepas menewaskan juara 2022, Ratchanok Intanon dari Thailand 21-14, 21-18.

Pemain nombor satu dunia itu akan bertemu pilihan kedua dari China, Wang Zhi Yi, yang menewaskan Pornpicha Coeikeewong dari Thailand, 21-16, 21-12.

Namun, juara bertahan yang lain, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China gagal mempertahankan gelaran beregu wanita mereka selepas tewas dalam set penentuan kepada pasangan senegara, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 21-19, 16-21, 17-21.

Yi Fan-Shu Xian akan berhadapan dengan pasangan Jepun Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dalam perlawanan final, selepas mereka mengejutkan pilihan keempat Li Yi Jing-Luo Xi Min dari China, 21-13, 23-21.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy