AM

Jangan Ambil Mudah Usaha Pelihara Alam Sekitar - JAS Perak

26/10/2024 06:36 PM

LUMUT, 26 Okt (Bernama) -- Usaha pemeliharaan alam sekitar tidak boleh dipandang enteng dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak antaranya kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, entiti swasta dan setiap individu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata semua pihak perlu bersatu untuk mencapai matlamat kelestarian alam kerana dalam setiap tindakan walaupun kecil ia mempunyai impak besar dalam kehidupan seharian.

"Pendidikan alam sekitar juga satu daripada elemen penting dalam usaha melestarikan alam sekeliling. Kita perlu mendidik generasi muda tentang kepentingan alam dan cara-cara untuk menjaganya. 

"Melalui program pendidikan, kita dapat melahirkan masyarakat yang bukan sahaja sedar akan isu alam sekitar tetapi juga komitmen untuk bertindak demi kebaikan bumi kita," katanya ketika berucap pada Program Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Tahun 2024 Peringkat Negeri Perak di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak Teh Kok Lim.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy