IPOH, 5 Nov (Bernama) -- "Karya Agung: Alang Rentak Seribu" iaitu naskhah Seniman Negara Datuk Syed Alwi Syed Hasan akan dipentaskan pada 8 dan 9 Nov ini di Auditorium, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak di sini bermula pukul 8:30 malam.
Pengarahnya Ard Omar berkata pihaknya mengolah sebanyak 40 peratus dari segi skrip, manakala 60 peratus diolah dari segi bentuk pementasan.
Ini kerana durasi pementasan teater berdasarkan skrip asal memerlukan masa sehingga lebih tiga jam, berbanding satu jam 45 minit selepas diolah.
"Untuk makluman, kita ada olahan tetapi tiada penambahan dialog atau perlakuan-perlakuan lain. Apa yang kita angkat adalah dari segi drama.
"Berbanding Alang (Alang Rentak Seribu) sebelum ini, dari tahun 1973 sehinggalah beberapa versi yang dilakukan dan dipentaskan, kali ini kita mengangkat dari segi dramatik, emosi, ekspresi dan apa-apa yang tersirat disebaliknya. Itu salah satu kelainan yang kita buat dalam Alang ini," katanya pada sidang media di sini, malam tadi.
Terdahulu, pengamal media diberi peluang menyaksikan pratonton pementasan karya agung itu yang dianjurkan oleh Majlis Kebudayaan Negeri Perak dengan kerjasama JKKN Perak berdurasi selama 45 minit.
pic-2
Ard berkata pementasan bagi naskhah itu agak mencabar kerana ia menuntut pelakon yang berkaliber untuk memainkan watak dalam Alang Rentak Seribu, dengan versi kali ini dibarisi pelakon, antaranya, Azizah Mahzan, Nesa Idrus, Faha Azhar, Pak Chu (Raja Lawak), Rosli Rahman Adam dan Faris Jamhari.
Beliau berkata jalan cerita dalam naskah berkenaan juga adalah dekat dengan masyarakat terutamanya di negeri Perak, melibatkan pertembungan budaya antara mereka yang duduk di bandar dan di kampung.
"Segala tatakerja, tatabudaya dan tatapersembahan berlaku sekitar tahun 70an dan kebanyakan generasi sekarang mungkin sudah lupa (apa yang berlaku dan gaya hidup ketika tahun 70an).
"Secara relevannya dalam masa sama dia (pementasan teater berkenaan) boleh mendidik dan juga sebagai teladan kepada masyarakat sekarang tentang budaya-budaya itu," katanya.
Ard berkata di Malaysia sebenarnya tidak begitu ketara perbezaan antara yang tinggal di bandar atau kampung, tetapi akibat keegoan dan ketaksuban kepada sesuatu perkara menyebabkan terbentuknya jurang itu.
pic-3
Sementara itu, Pengarah JKKN Perak, Abd Rashid Abdullah berkata karya agung itu dipentaskan semula untuk dipertontonkan kepada generasi muda tentang ideologi yang ingin disampaikan ketika itu iaitu pada 1970-an, dan kekal relevan sehingga hari ini, selain memberi peluang kepada belia menonjolkan bakat masing-masing.
"Inilah satu ruang dan peluang, kalau kita tengok teater ini membariskan 80 ke 90 peratus pelakon anak tempatan dari negeri Perak. Inilah ruang dan peluang kita nak sediakan kepada penggiat seni, khususnya belia yang terlibat secara aktif dalam bidang teater di negeri Perak.
"Matlamat kita mencipta pelancongan domestik dalam bidang teater sebab kalau kita tengok setiap tahun kita tidak pernah ketandusan untuk pementasan teater ini di negeri Perak, malahan memang banyak yang telah dirancang siri pementasan teater yang mendatang," katanya menambah, tiket untuk pementasan pada Jumaat ini sudah habis dijual.
Menurut beliau harga tiket diselaraskan kepada RM20 untuk setiap individu dan hanya mereka yang berusia 15 tahun ke atas sahaja dibenarkan untuk masuk menonton teater itu.
Teater itu menceritakan tentang Alang, seorang pemuda kampung yang memiliki banyak kebolehan dan bijak mengawal segala permasalahan dengan kisah bermula apabila sekumpulan rombongan dari Filem Negara datang ke kampungnya untuk penggambaran filem yang mengisahkan kehidupan di kampung ketika itu.
Pelbagai kejadian berlaku disebabkan pertembungan nilai dan pendapat antara penduduk kampung dan juga kru filem yang datang dari Kuala Lumpur.
Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai teater itu, orang ramai boleh melayari laman media sosial JKKN Perak atau melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya dan laman web JKKN.
-- BERNAMA