PUTRAJAYA, 26 Okt (Bernama) -- Pengarah dan penerbit filem Othman Hafsham dipilih menerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2024 pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA2024).
Othman menerima wang tunai RM10,000, trofi, barang kemas bernilai RM30,000 dan kereta Proton S70 atas sumbangan beliau dalam industri seni tanah air termasuk memperjuangkan nasib anak seni tempatan.
Dalam pada itu, Saiem Muhammad menerima Anugerah Khas Juri menerusi Aroma Puncak Borneo, sebuah program gastronomi dan masakan pelbagai etnik Bumi Kenyalang sekali gus membawa pulang RM8,000, trofi dan barang kemas bernilai RM20,000.
Anugerah itu disampaikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin.
ASA2024 turut menyaksikan Bernama merangkul kategori Majalah Radio Terbaik yang dimenangi Nurliyana Farhah Ruslan melalui penghasilan "Masih Ada Sinar Buat Pesakit Buah Pinggang" siaran Bernama Radio.
Bagi anugerah kemuncak iaitu Dokumentari TV Terbaik dimenangi Chong Boon Yee - Taste Of Memory (Season 2) siaran 8TV yang membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan Dana Kandungan Digital (DKD) sebanyak RM150,000, sementara Drama TV Terbaik dimenangi Azrai Fahmi menerusi "Bahalol" (TV Okey) dan membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan DKD RM200,000.
Drama "Bahalol" juga mengungguli kategori Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik dan Pelakon Wanita Drama TV Terbaik menerusi Sobri Anuar dan Liza Othman.
ASA2024 membawa tema "Kilauan Prestij, Citra Kegemilangan" telah menerima 1,860 pencalonan melibatkan tiga kategori iaitu 1,287 kategori televisyen, 515 kategori radio dan 58 kategori media baharu.
ASA dahulunya dikenali sebagai Anugerah RTM, dicetuskan Kementerian Penerangan pada 1972, bertujuan mengiktiraf penggiat penerbitan program radio dan televisyen terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Ia merupakan inisiatif kerajaan untuk memartabatkan penggiat industri kreatif penyiaran tanah air dan mengiktiraf penggiat industri kreatif penyiaran yang turut merangkumi pekerja di belakang tabir seperti kru penerbitan dan siaran, penerbit, pereka, juruhebah, penyampai dan kru teknikal.
Lebih menarik, ASA2024 juga buat julung kalinya menampilkan pengacara kecerdasan buatan (AI), Ai Van yang berinteraksi bersama penonton secara santai sepanjang malam ini.
-- BERNAMA