KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini menganjurkan Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah (9s) dan Bola Jaring Antara Media sempena Sukan HAWANA bagi menggalakkan pengamal media menyeimbangkan antara kerjaya dan kehidupan dengan bersukan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berkata platform bersukan yang julung kali diadakan itu turut berperanan sebagai medium mengeratkan hubungan dan meningkatkan semangat kekitaan dalam kalangan pengamal media.
“Kita tahu (apabila pengamal media) bertugas lewat malam, akan ada makan malam (jadi) kita kena ambil inisiatif memperbaiki amalan gaya hidup terutamanya dalam kalangan orang muda namun tidak semestinya hari kejohanan sahaja (tetapi) hari biasa perlu beriadah juga.
“Saya lihat daripada sukan, kita boleh ada mental yang sihat dan paling penting untuk (kesihatan) tubuh badan kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kejohanan berkenaan di Brainy Bunch International School, Melawati Campus di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj yang mengambil bahagian dalam acara bola sepak 9s dalam kumpulan Bernama C dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Nasriah Darus.
Dalam pada itu, Nur-ul Afida turut berbesar hati melihat sambutan menggalakkan terhadap kejohanan berkenaan dengan penyertaan 17 pasukan bola sepak 9s dan sembilan pasukan bola jaring.
Antara pasukan yang bertanding dalam bola sepak 9s ialah Fahmi Fadzil FC, Bernama (A, B dan C), Utusan Malaysia, Media Perak, Awani Troopers dan Kejpa FC.
Sembilan pasukan bola jaring terdiri daripada IKIM, Bernama Thunder, MITI, Bernama Bullet, FINAS, Al-Hijrah, KK/Japen, Bernama Net Force dan Karangkraf.
Sementara itu, wartawan Harian Metro Syazwan Msar teruja kerana berpeluang 'melupakan’ seketika tugasan harian untuk berkumpul bersama rakan-rakan media lain terutama yang sudah jarang bertemu kerana kesibukan kerja.
“Saya wartawan sukan yang memang tertumpu kepada bola sepak. Jadi memang seronok apabila dapat keluarkan bakat bersama kawan-kawan. Harapnya kejohanan ini diadakan setiap tahun,” katanya.
Sementara itu, Editor Media Digital Visual Bernama Nursyafiqah Haspawari menyifatkan platform sukan sebagai peluang untuk mengenali lebih ramai rakan industri media memandangkan beliau baru menyertai Bernama tahun lepas.
Juara bola sepak 9s akan membawa pulang RM3,000, pingat dan piala, naib juara RM2,000 serta pingat manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing membawa pulang RM1,000 dan RM800 berserta pingat.
Bagi acara bola jaring pula, pemenang utama akan membawa pulang RM2,000, pingat dan piala, naib johan RM1,000 dan pingat manakala ketiga dan keempat masing-masing meraih RM500 dan RM400 berserta pingat.
Hari Wartawan Nasional (HAWANA), yang pertama kali disambut pada 11 April 2018, bertujuan meraikan jasa dan pengorbanan komuniti media serta mengangkat martabat profesionalisme kewartawanan negara selain menjadi platform untuk mereka berkumpul dan membincangkan isu semasa yang dihadapi industri.
-- BERNAMA