KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Karnival Deepavali bukan sahaja mampu merangsang ekonomi penduduk tempatan, khususnya golongan B40 dan M40, malah berpotensi menjadi acara tahunan yang mampu menarik minat pelancong domestik serta antarabangsa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata acara itu juga menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran tentang keunikan dan kepelbagaian budaya tempatan sekali gus menjadikan ia sebagai tarikan pelancongan yang bernilai.
“Inisiatif ini diharap dapat merancakkan ekonomi setempat dan memberi peluang kepada usahawan kecil untuk mempamerkan produk mereka,” katanya kepada pemberita selepas berkunjung ke Karnival Deepavali ke-22 (DC24) anjuran Agenda Suria Communication di Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini hari ini.
Beliau berkata penganjuran acara serupa di kawasan lain boleh dipertimbang untuk membuka peluang kepada individu atau organisasi yang berminat namun pemilihan lokasi perlu kondusif termasuk tidak mengganggu aliran lalu lintas dan keharmonian penduduk setempat.
DC24, yang bermula dari 22 hingga 30 Okt ini dan diadakan di Parkir Terbuka B, dijangka menarik lebih 400,000 pengunjung.
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agenda Suria Communications Jaggarao Simancha berkata DC24, yang berlangsung dari 12 tengah hari hingga 10 malam, sudah menerima kehadiran lebih 150,000 pengunjung pada hari kelima.
Beliau berkata acara itu terus mendapat sambutan setiap tahun dan kini menjadi tumpuan masyarakat India dalam membuat persiapan untuk menyambut Pesta Cahaya.
-- BERNAMA