EKONOMI

Petronas Manfaatkan AI Bagi Keputusan Pelabur Dipacu Data Sektor E&P Malaysia

06/11/2024 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Petronas menerusi Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) bekerjasama dengan Earth Science Analytics (ESA) dan Amazon Web Services (AWS) untuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML) termaju untuk mempercepat usaha penerokaan di Lembangan Melayu dan meningkatkan keupayaan platform Petronas myPROdata.

Syarikat minyak negara itu dalam kenyataan hari ini berkata platform berasaskan web berkenaan menyediakan akses kepada data penerokaan dan pengeluaran (E&P) Malaysia kepada pelanggan.

Naib Presiden Kanan MPM Datuk Bacho Pilong berkata kerjasama ini penting dalam memperkukuh komitmen Petronas terhadap inovasi ketika ia bersiap sedia untuk Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2025.

“Dengan memanfaatkan keupayaan AI dan ML termaju, kami menyasarkan untuk memperkasa pelabur dan kontraktor pengaturan Petroleum dengan cerapan data yang luas dan proses lebih lancar, yang akan memacu keputusan lebih pintar dan memastikan pusingan bida lebih efisien dan memberi impak kepada semua peserta,” katanya.

MBR adalah pusingan pelesenan tahunan yang menawarkan pelbagai peluang huluan kepada pelabur berpotensi dan ini termasuk keluasan ekar penerokaan, peluang sumber ditemui dan aset penghasil hayat lewat di seluruh Malaysia. MBR 2025 yang seterusnya dijadual diadakan pada awal 2025 di Kuala Lumpur.

Petronas berkata MPM akan bekerjasama dengan ESA untuk meneroka teknologi geosains AI dan ML yang termaju.

Inisiatif ini akan memberi tumpuan kepada pembangunan aliran kerja subpermukaan yang dipacu AI menggunakan platform EarthNET ESA dan Petronas myPROdata untuk meningkatkan analisis data bawah permukaan dan tafsiran, seterusnya mengoptimumkan penerokaan hidrokarbon di Lembangan Melayu matang, di luar pesisir Semenanjung Malaysia.

Petronas berkata ia akan bekerjasama dengan AWS untuk melaksanakan fungsi AI dan ML termaju, menambah baik pengalaman pengguna dan memperkemas proses pengurusan data.

Integrasi alatan AI dan ML termaju ini akan meningkatkan keupayaan operasi platform Petronas myPROdata dengan ketara, membolehkan pelabur berpotensi membuat keputusan lebih baik berpacukan data dalam sektor E&P Malaysia, katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy