AM

Keluarga Penghuni Penjara Dibenar Melawat Sempena Deepavali Pada 2 Dan 3 Nov

28/10/2024 03:32 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Keluarga kepada penghuni penjara termasuk Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney dibenar untuk membuat lawatan sempena sambutan Deepavali pada 2 dan 3 Nov ini. 

Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini memaklumkan perjumpaan secara bersemuka itu dibenarkan bermula pada 8.15 pagi hingga 4.15 petang dan pelawat diminta membawa kad lawatan bersama dengan kad pengenalan bagi memudahkan urusan.

Pelawat tidak dibenarkan membawa sebarang makanan serta minuman untuk diberikan kepada penghuni, sebaliknya ia boleh dibeli dari kantin penjara dan keutamaan lawatan pada hari berkenaan diberi kepada penghuni yang beragama Hindu.

“Pelawat tidak digalakkan memberi wang kepada penghuni, memandangkan semua kemudahan asas telah disediakan oleh Jabatan Penjara Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Sekiranya pelawat ingin memberi wang kepada penghuni atas urusan tertentu seperti bayaran yuran peperiksaan dan lain-lain, resit rasmi PPT. 28 sebagai akuan penerimaan perlu diperolehi.

“Pelawat juga tertakluk kepada Akta dan Peraturan Penjara yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal untuk masuk dan keluar dari penjara,” menurut kenyataan itu.

Bagi keluarga yang tidak dapat hadir ke penjara untuk perjumpaan bersemuka, perjumpaan secara dalam talian boleh dilakukan bermula pada 4 hingga 6 Nov.

-- BERNAMA

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy