MARANG, 28 Okt (Bernama) -- Program Rehlah Sains 2024 anjuran Pusat Sains Negara (PSN) yang melibatkan pelajar di 43 sekolah agama dan tahfiz di Pantai Timur meraih sambutan menggalakkan.
Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata program yang mula dilaksanakan di Kelantan pada 16 hingga 23 Okt lepas berjaya menarik kehadiran seramai 3,900 peserta manakala pelaksanaan di Terengganu yang bermula hari ini telah menerima kehadiran lebih 1,000 peserta yang terdiri daripada pelajar dan guru sekolah.
“Kita menyasarkan kehadiran peserta untuk tiga negeri di Pantai Timur adalah seramai 5,000 orang. Insya-Allah berdasarkan sambutan yang diberikan setakat ini kita akan berjaya melepasi sasaran kehadiran peserta yang ditetapkan.
“Daripada pengalaman kami apabila kita bawa aktiviti berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), mereka (pelajar) berasa sangat teruja dan sambutan diberikan amat menggalakkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Program Rehlah Sains Terengganu 2024 di Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu, Bukit Payong, dekat sini hari ini.
Beliau berkata program berkenaan berlangsung hari ini dan esok manakala di Pahang dijadualkan pada hari ini dan Rabu (30 Okt).
Aminuddin berkata pihaknya juga bercadang untuk meneruskan program rehlah tersebut dari semasa ke semasa termasuk melibatkan pelajar sekolah agama dan tahfiz di negeri-negeri lain pula.
Selain mendekatkan pelajar sekolah agama dan tahfiz kepada aktiviti STEM, katanya Program Rehlah Sains 2024 turut memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada mereka bahawa para ilmuwan Islam pernah menjadi pemangkin bidang sains dan teknologi suatu ketika dahulu.
“Kita faham sebenarnya sains itu berasal daripada Islam dan Islamlah yang mempopularkan bidang sains dan teknologi. Oleh itu kita harap adik-adik ini faham walaupun mereka mendalami ilmu Islam, al-Quran dan sebagainya tetapi sebenarnya mereka berpeluang untuk menjelaskan sains dan dan teknologi daripada sudut yang mereka pelajari setiap hari. Ada banyak nas di dalam al-Quran dan hadis yang memberikan penjelasan asas tentang apa itu sains yang sebenarnya,” katanya.
Selain itu katanya program tersebut juga bagi menarik minat pelajar sekolah agama dan tahfiz untuk menjadikan bidang STEM seperti industri berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan industri robotik sebagai kerjaya mereka.
-- BERNAMA