KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Karnival Deepavali ke-22 (DC24) anjuran Agenda Suria Communication di Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini dari 22 hingga 30 Okt ini dijangka menarik lebih 400,000 pengunjung.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Agenda Suria Communications Jaggarao Simancha berkata pada hari kelima acara yang diadakan di Open Car Park B dari 12 tengah hari hingga 10 malam itu, sudah menerima kehadiran lebih 150,000 pengunjung.
Beliau berkata acara yang sering dinanti-nantikan setiap kali musim Deepavali itu terus mendapat sambutan setiap tahun dan kini menjadi pusat tumpuan untuk masyarakat India membuat persiapan untuk menyambut pesta cahaya.
"Kami menawarkan lebih banyak variasi dengan penyertaan lebih 240 vendor di 430 reruai kali ini berbanding 400 reruai dengan 210 vendor tahun lepas," katanya kepada Bernama dan menambah karnival itu menjadi platform utama untuk melancarkan koleksi fesyen baharu, termasuk sari, kurta dan pakaian Punjabi.
Jaggarao optimis bilangan pengunjung ke karnival itu akan melepasi sasaran 400,000 orang tahun ini, berdasarkan tarikan yang unik dan sambutan memberangsangkan setakat ini.
"Kami berbangga melihat kemeriahan ini kerana ia mencerminkan sokongan masyarakat dan peranan karnival dalam mempromosikan perniagaan dan budaya tempatan," katanya.
Beliau berkata bagi tahun ini, karnival itu turut menawarkan hadiah kepada pengunjung sebagai tanda penghargaan atas sokongan lebih 21 tahun lepas.
Pengunjung hanya perlu mengimbas kod QR untuk menyertai cabutan hadiah harian termasuk sebuah motosikal, mesin basuh dan peti sejuk.
-- BERNAMA