PHNOM PENH, 28 Okt (Bernama-Xinhua) -- Vietnam Airlines melancarkan penerbangan terus antara Phnom Penh, Kemboja, dan Hanoi, Vietnam, menurut kenyataan akhbar pada Isnin, lapor Xinhua.
Penerbangan sulung berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada petang Ahad dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai pada hari yang sama, dengan masa penerbangan terus hanya 1 jam 55 minit, menurut kenyataan itu.
Pada masa ini, Vietnam Airlines merupakan satu-satunya syarikat penerbangan Vietnam yang mengendalikan penerbangan terus antara Phnom Penh dan Hanoi. Sebelum ini, penumpang yang melakukan perjalanan dari Hanoi ke Phnom Penh terpaksa transit di Vientiane, Laos, dalam penerbangan trans-Indochina syarikat penerbangan itu.
Menurut kenyataan itu Vietnam Airlines akan mengendalikan laluan ini empat kali seminggu - pada Isnin, Rabu, Jumaat, dan Ahad - menggunakan pesawat Airbus A321.
-- BERNAMA-XINHUA