JENAYAH & MAHKAMAH

Pasukan Senoi Praaq Guna Bot, Motosikal Kawal Keselamatan Sempadan Malaysia-Thailand

07/01/2025 03:59 PM

PASIR MAS, 7 Jan (Bernama) -- Kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok, kini diperhebatkan dengan rondaan menggunakan bot oleh anggota pasukan elit Senoi Praaq daripada Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata rondaan itu dijalankan di sekitar kawasan yang dikenal pasti aktif dengan orang ramai melintas sempadan.

Beliau berkata rondaan bermula 8 pagi hingga 7 malam setiap hari melibatkan kawasan tumpuan antaranya pangkalan haram seperti pangkalan MCA, pangkalan Pohon Jambu dan Tok Awang Belulang di Rantau Panjang.

"Walaupun kawalan ketat, kita pasti masih ada individu yang cuba menyelinap masuk atau keluar melalui laluan haram dan dengan kawalan ini, sudah pasti mereka berasa bimbang untuk menyeberangi sempadan secara haram.

"Sebanyak tiga bot digunakan iaitu tiga anggota bagi satu sesi bermula dari Pos Ibrahim Pencen hingga Pos Terusan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Yusoff berkata rondaan juga dilakukan berdasarkan keadaan di pangkalan-pangkalan yang sentiasa menjadi “hotspot” atau tumpuan pada waktu puncak.

Beliau berkata rondaan menggunakan bot itu merupakan cetusan idea daripada Komander Briged Tenggara PGA iaitu Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid bagi menangani permasalahan di sempadan.

“Anggota Senoi Praaq ini turut membuat rondaan secara berjalan kaki pada waktu malam dan kita yakin dengan keberkesanannya.

“Selain itu, rondaan bermotosikal juga turut dipertingkatkan di kawasan laluan sempit dan sukar dilalui bagi mengesan sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy