EKONOMI

Malaysia Terus Jadi Hab Logistik Bagi Panel Solar Ketika Kenaikan Tarif AS

28/10/2024 06:34 PM

SEPANG, 28 Okt (Bernama) -- Malaysia terus berfungsi sebagai hab logistik untuk panel solar ketika Amerika Syarikat (AS) menaikkan tarif ke atas peralatan solar dari Asia Tenggara, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau memberikan jaminan bahawa beberapa syarikat utama AS yang berpangkalan di Malaysia sedang mengeksport semula peralatan panel solar, termasuk mikrocip, semikonduktor dan elektronik, antara produk lain, ke AS.

“Saya tidak begitu pesimis dalam hal ini. Berdasarkan dasar kita, kita mahu terus meningkatkan dan menggalakkan perdagangan dalam ASEAN...perdagangan antara negara ASEAN adalah penting. Itulah sebab saya percaya hab logistik ini penting untuk Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian DHL Express Kuala Lumpur Gateway baharu di sini, pada Isnin.

Beliau berkata Malaysia tidak seharusnya bergantung kepada satu pasaran semata-mata dan perlu terus mencari peluang baharu.

Sementara itu, ketika mengulas penyertaan Malaysia sebagai negara rakan dalam BRICS, Loke berkata perkembangan itu membuka peluang pasaran baharu untuk Malaysia.

“Saya juga percaya semua kementerian yang berkaitan termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang mengambil langkah untuk memastikan eksport dan perniagaan Malaysia tidak terjejas,” katanya.

Beliau berkata selain eksport panel solar, Malaysia juga mempunyai kelebihan dalam sektor E&E dan mempertimbangkan untuk mengembangkan produk pengguna lain.

Sebelum ini, AS mengumumkan kenaikan tarif ke atas peralatan solar yang dieksport dari Asia Tenggara untuk melindungi industri domestiknya.

Jabatan Perdagangan AS mengumumkan peningkatan duti ke atas peralatan solar yang dieksport oleh Kemboja, Malaysia, Thailand dan Vietnam.

Ini berikutan penemuan awal oleh jabatan itu mengenai subsidi kerajaan yang tidak adil yang digunakan untuk menghasilkan peralatan solar yang dijual oleh syarikat di empat negara itu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy