AM

Kerajaan Gubal Akta Baharu Berkaitan Pekerja Gig

28/10/2024 07:43 PM

PUTRAJAYA, 28 Okt (Bernama) -- Satu akta baharu berkaitan pekerja sektor gig akan digubal dalam usaha melindungi kebajikan pekerja di sektor berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau berkata pembentangan rang undang-undang (RUU) berkenaan akan dibuat Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) pada sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang, setelah selesai sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025. 

“Antara elemen terkandung dalam akta ini ialah jaringan keselamatan dalam kalangan pekerja gig dan perlindungan bukan hanya caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tapi juga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), selain kos rawatan perubatan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Konvensyen Ekonomi Gig Malaysia MADANI di sini hari ini. 

Terdahulu dalam ucapannya Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata langkah penggubalan undang-undang itu, satu mesej jelas bahawa kerajaan membela 1.16 juta pekerja sektor berkenaan di seluruh negara.

Beliau berkata perkara itu sekali gus meletakkan Malaysia sebagai negara terawal menggubal perundangan khusus membabitkan pekerja sektor itu.

Ahmad Zahid berkata walaupun elemen seperti kos rawatan perubatan yang dicadang dimasukkan dalam akta berkenaan mungkin memberi implikasi kewangan, namun ia perlu bagi menjaga kebajikan pekerja.

“Kita akan membincangkan perkara ini secara terperinci dengan Kementerian Kewangan, KESUMA serta Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi Gig Malaysia, yang akan memberikan input-input setelah perundingan dilakukan mengikut konsultasi dengan pihak universiti terutamanya Universiti Malaya (UM).

“UM telah memberikan khidmat pandangan termasuk dari segi perundangan kepada sekretariat ini dan KESUMA,” katanya.

Ditanya perbezaan akta baharu ini dengan akta kerja yang lain, Ahmad Zahid berkata akta sedia ada yang lain tidak menyebut dengan khusus berkaitan perkembangan terbaharu dalam sektor ekonomi gig. 

“Kabinet telah memutuskan atas cadangan Menteri Sumber Manusia bahawa harus ada satu akta khusus, agar pemakaian akta ini tidak akan mengenepikan akta sedia ada,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi Gig Malaysia turut mencadangkan perlindungan Perkeso turut meliputi luar waktu bekerja bagi golongan ini.

Konvensyen Ekonomi Gig Malaysia yang dianjurkan Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi Gig Malaysia, dihadiri kira-kira 600 peserta dalam kalangan penggiat gig ekonomi, pengusaha platform, penggubal dasar, wakil kerajaan dan sektor korporat. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy