SUKAN

Jurang Besar Berbanding JDT, Selangor Fokus Raih Mata Sebanyak Mungkin - Dr Johan

29/10/2024 03:55 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon mengakui skuad Gergasi Merah mempunyai jurang yang besar daripada segi kutipan mata berbanding pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas 13 perlawanan pada aksi Liga Super 2024/2025. 

Beliau bagaimanapun berkata pasukan kendalian Mohd Nidzam Jamil itu tetap berada di kedudukan terbaik dalam saingan liga, namun masih banyak perkara yang perlu ditambah baik dalam usaha mengejar mata skuad Harimau Selatan.  

“Satu jurang besar (dengan JDT), tetapi kita ambil satu perlawanan demi satu perlawanan. Jurang itu bukan satu yang kita nak fokus. Kami mahu fokus kepada diri sendiri. Dapatkan sebanyak mungkin kemenangan. Pasukan dalam kedudukan yang baik. Kita akan perbaiki apa yang kurang dalam perlawanan,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini. 

Ahad lepas menyaksikan skuad Gergasi Merah nyata bukan tandingan JDT apabila tewas 3-0 di laman sendiri di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). 

Pemain sensasi JDT Bergson da Silva meledak dua gol, manakala Romel Morales satu jaringan untuk memacu kemenangan skuad Harimau Selatan. 

Keputusan itu menyaksikan JDT selesa berada di puncak liga dengan 34 mata selepas 12 perlawanan tanpa sebarang kekalahan setakat ini. 

Sementara Selangor pula berada di tangga kedua liga dengan 26 mata selepas 13 perlawanan dan mengalami tiga kekalahan. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy