JENAYAH & MAHKAMAH

707 Mangsa Sindiket Penipuan Tawaran Kerja Di Luar Negara Diselamatkan

29/10/2024 04:31 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Sejumlah 707 mangsa warganegara Malaysia yang terlibat dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara berjaya diselamatkan dan dihantar pulang ke tanah air setakat semalam, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.

Beliau berkata hasil kerjasama kementerian berkenaan, perwakilan Malaysia di luar negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM)  dan pihak berkuasa tempatan, sejumlah 199 orang lagi sedang dijejaki, menjadikan jumlah warga negara Malaysia yang terlibat seramai 906 orang.

"Jumlah ini adalah berdasarkan laporan yang diterima daripada waris, ahli keluarga, rakan, polis dan individu itu sendiri. 

"Fenomena yang dikenali sebagai sindiket penipuan tawaran pekerjaan atau lebih dikenali sebagai ‘job scam’ ini  telah mendapat perhatian ahli-ahli yang berhormat di mana kementerian ini juga sering mendapat laporan daripada Pejabat Khidmat Ahli-ahli Yang Berhormat berkaitan kes ini.

“Kementerian Luar Negeri akan meneruskan usaha untuk mengesan mereka dan menghulurkan bantuan yang sewajarnya," katanya bagi menjawab pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mengenai jumlah kes rakyat Malaysia yang telah ditipu untuk ke luar negara dan dipaksa atau melibatkan diri dalam penipuan dalam talian, dalam tempoh lima tahun bermula 2020. 

Mohamad berkata pada masa yang sama, seramai lima individu telah didakwa di mahkamah kerana terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara. Mereka didakwa di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).

Beliau berkata mereka didakwa hasil maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (MAPO).

"Kira-kira 90 peratus daripada mangsa (penipuan) bukan mangsa tapi mereka adalah sebahagian daripada operator-operator yang menaja, yang terlibat dengan sindiket ini," katanya bagi menjawab soalan tambahan Ngeh mengenai jumlah wakil sindiket itu yang telah dikenakan tindakan. 

Mohamad berkata MAPO yang dianggotai 10 agensi diwujudkan bagi membincangkan dan mengesyorkan tindakan terbaik dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan. 

Selain itu, Mohamad berkata selaras kepengerusian ASEAN pada tahun depan, Malaysia akan meneruskan usaha dan jalinan kerjasama antara negara anggota dengan mengangkat isu itu.

"Insya-Allah pada tahun depan, apabila kita mempengerusikan ASEAN dan melalui tonggak politik dan juga keselamatan, isu ini kita akan angkat.

“Kita mendapat makluman dari Kementerian Dalam Negeri bahawa mereka akan mengadakan beberapa siri mesyuarat di peringkat ASEAN, insya-Allah diadakan pada tahun depan dan saya percaya isu job scam ini akan dijadikan sebagai satu daripada tumpuan untuk dicari jalan bagaimana untuk diselesaikan masalah ini di peringkat rantau ASEAN," katanya. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman(PN-Sik) mengenai jalinan kerjasama kerajaan dengan negara yang menjadi lokasi mangsa sindiket penipuan ini termasuk negara anggota ASEAN dalam menangani isu berkenaan. 

Mohamad berkata di peringkat ASEAN, beberapa siri perbincangan mengenai isu itu telah diadakan antaranya, sewaktu kepengerusian ASEAN oleh Indonesia, satu deklarasi, The ASEAN Leaders' Declaration on Combating Trafficking in Persons Caused by the Abuse of Technology telah dibuat di Labuan Bajo.

Semasa Laos menjadi pengerusi ASEAN pula katanya satu deklarasi, Vientiane Declaration on Enhancing Law Enforcement Cooperation Against Online Job Scams telah dihasilkan berkenaan isu itu.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy