AM

60 Peratus Kebakaran Di Tapak Kumpul Bahan Kitar Semula Dipadamkan

29/10/2024 06:07 PM

KOTA BHARU, 29 Okt (Bernama) -- Kebakaran di tapak pengumpulan bahan kitar semula di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Padang Tembak kini telah 60 peratus dipadamkan. 

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Penguasa Bomba Kanan Khairul Ariffin Che Ramli berkata operasi memadamkan kebakaran, dilaksanakan seperti biasa setiap 24 jam tanpa henti sejak tiga hari lepas.

“Selain menggunakan kaedah menyiram air yang diperoleh daripada bantuan enam lori tangki milik Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB), kita juga menggunakan mesin pengorek bagi meleraikan bungkusan bahan kitar semula yang dimampatkan.

“Kaedah ini boleh mempercepatkan proses pemadaman apabila bahan mudah terbakar dipecah-pecahkan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Khairul Ariffin berkata setakat ini terdapat 31 pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, BBP Pengkalan Chepa, BBP Pasir Tumboh dan BBP Wakaf Bharu yang masih bertugas di lokasi kebakaran tersebut.

Beliau berkata kesemua bahan yang terbakar itu, dari bahan seperti plastik, kain, getah dan polivinil klorida (PVC), yang dipercayai diproses bagi menghasilkan biodiesel di kilang lain.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan Mohamad Zamzani Ibrahim berkata setakat pukul 1 petang hari ini, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sekitar Kota Bharu dan Pengkalan Chepa ialah 40, iaitu masih pada kategori baik (hijau).

Beliau berkata keadaan itu kemungkinan dibantu oleh keadaan sedikit hujan semalam, selain tindakan anggota JBPM yang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran tanpa henti.

“Saya percaya operasi pemadaman yang dilakukan pihak bomba akan berjaya sepenuhnya setelah dimaklumkan kawasan yang masih terbakar hanya tinggal sekitar 15 peratus sahaja lagi,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy