AM

Kerajaan Sentiasa Utamakan Aspek Keselamatan, Kebajikan Pelajar Di Timur Tengah - Zambry

29/10/2024 08:13 PM

PUTRAJAYA, 29 Okt (Bernama) -- Kerajaan sentiasa memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan dan kebajikan pelajar Malaysia yang berada di Timur Tengah, khususnya di kawasan konflik, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. 

Bercakap di hadapan kira-kira 200 pelajar yang bakal melanjutkan pengajian di Asia Barat, Zambry berkata berdasarkan pengalaman lepas kerajaan sentiasa bertindak segera terhadap situasi seumpama itu, bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin.

“Kita (kerajaan) akan pastikan kalau berlaku pergolakan, kita akan aturkan macam mana masa Perang Teluk dahulu.

“Jangan risau, jangan bimbang, belajar dahulu. Kita akan segera keluarkan rakyat Malaysia daripada kawasan bergolak,” katanya pada sesi dialog  bertemakan ‘Mahasiswa MADANI: Cendekiawan Rabbani’ di sini hari ini.

Program itu diadakan bagi memberi pendedahan dan kefahaman kepada pelajar mengenai gagasan Malaysia MADANI yang menekankan akhlak, adab serta menggalakkan pemikiran kritis dan analitis dalam menangani pelbagai isu semasa.

Program itu turut menjadi platform persediaan kepada pelajar mengenai semangat patriotisme, disiplin dan integriti melalui taklimat kenegaraan, yang disampaikan wakil dari Akademi Kenegaraan.

Sementara itu pada sidang media, Zambry mahu portal MySISWAPLACE menjadi pusat sehenti bagi pelajar mendapatkan segala maklumat, pemudah cara proses pembelajaran serta penyaluran semua bentuk sumbangan.

“Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bangunkan portal ini untuk memastikan supaya tujuan membantu pelajar khususnya pemberian Baucar Buku MADANI. Saya harap ia akan jadi satu saluran yang boleh dimanfaatkan untuk tempoh masa yang panjang,” katanya.

Beliau berkata MySISWAPLACE merupakan langkah transformasi pendigitalan perkhidmatan dan produk sekali gus meningkatkan tahap kecekapan pengurusan penyaluran sumbangan kepada pelajar yang memerlukan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy