KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kerajaan dicadang untuk meneroka serta mempertimbangkan pengunaan tenaga nuklear modular sebagai sumber alternatif untuk pusat data dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara.
Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) berpendapat pengunaan sumber tenaga nuklear modular juga dapat membantu Malaysia mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Beliau berkata sumber tenaga nuklear modular dilihat sebagai satu sumber yang cekap dan bersih serta menjimatkan untuk jangka masa sederhana dan panjang berbanding sumber tenaga yang lain.
Malah ia mampu menggantikan sumber tenaga arang batu menjelang 2040, katanya.
“Syarikat seperti Amazon dan Google ada menyatakan mereka mahukan kuasa untuk pusat data mereka ditampung daripada sumber tenaga nuklear modular.
“Sumber tenaga ini akan memastikan kestabilan dan kecekapan bekalan, jadi tidak mustahil pusat-pusat data di Malaysia juga mahukan sumber tenaga yang sama,” katanya pada sesi perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Onn turut mencadangkan supaya kerajaan mengatur langkah untuk memberi kesedaran tentang kepentingan, keselamatan dan kecekapan kos tenaga itu kepada orang ramai.
“Jika kerajaan tidak mengunakan sumber tenaga nuklear modular ini, apakah sumber alternatif lain yang akan digunakan bagi mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 tanpa bergantung kepada tenaga arang batu,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) menyarankan supaya kerajaan memberi perhatian khusus kepada ekonomi hijau dan kelestarian di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Beliau berkata penyepaduan agenda hijau masih belum jelas dalam pembangunan di zon tersebut.
"Tanpa komitmen kepada teknologi mesra alam dan tenaga hijau, kita mungkin akan ketinggalan dalam menjadikan Johor sebagai destinasi pelaburan yang menarik di era peralihan tenaga global," tambah beliau.
-- BERNAMA