AM

Deepavali: Aliran Trafik Terkawal, Kenderaan Bertambah Di Lebuh Raya Utama Pagi Ini

30/10/2024 10:02 AM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan terkawal walaupun jumlah kenderaan bertambah setakat 9 pagi ini, menjelang sambutan Deepavali esok.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan bahawa trafik masih lagi terkawal di sekitar Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2 serta Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) E2 menghala Johor. 

Menurutnya, terdapat pertambahan trafik di sekitar Bidor ke Tapah, Tapah ke Gopeng dan Seberang Jaya ke Perai. 

“Terdapat juga kesesakan di Lebuhraya Lembah Klang, Lebuhraya Elite dari Putra Height ke Seafield.

“Sementara itu, di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) arah Utara, trafik semakin bertambah dari Puchong Utama ke Puchong Intan, Plaza Tol PJS ke Jambatan Kabel, Kelana Jaya ke SS2 dan Plaza Tol Penchala ke Taman Tun Dr Ismail (TTDI),” katanya kepada Bernama. 

Beliau memaklumkan di Lebuhraya Sprint, trafik mula bertambah dari persimpangan Mont Kiara susur keluar ke Kayu Ara. 

“Bagi kemalangan pula, pagi ini dilaporkan berlaku kemalangan di KM 86.1 Arah Kuantan (Karak-Lanchang) dengan lorong kanan terhalang pada 7.26 pagi.

“Sementara itu, pada 8.15 pagi tadi, dilaporkan trafik perlahan susulan kebakaran kenderaan di persimpangam Senawang arah Selatan dari Port Dickson ke Senawang,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy