DUNIA

Pusat Penyelidikan Dan Pengajian Oman Pertama Bakal Ditubuhkan Di UIAM

06/11/2024 11:08 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Pusat Penyelidikan dan Pengajian Oman yang pertama bakal ditubuhkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pusat itu bakal menjadi satu platform pertukaran kajian dan kerjasama akademik merentasi pelbagai bidang.

Rektor UIAM Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar berkata penyelidikan di pusat itu juga bakal meliputi warisan Islam, kajian kebudayaan, termasuk polisi dan etika dalam kajian  sejarah.

“Saya juga berharap kajian ilmiah yang akan dijalankan kelak bukan sahaja mengkaji hubungan Oman dengan Malaysia bahkan Alam Melayu di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) penubuhan Pusat Penyelidikan dan Pengajian Oman antara Pejabat Mufti Oman dan UIAM di Muzium Kesenian Islam Malaysia, di sini pada Rabu.

Pejabat Mufti Oman diwakili Setiausaha Agungnya Sheikh Ahmed Saud Al Siyabi manakala Osman Bakar mewakili UIAM.

Turut hadir Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Duta Oman ke Malaysia Sheikh Alabbas Ibrahim Alharthi, ahli akademik dan diplomat asing.

Penubuhan Pusat Kajian dan Pengajian Oman  merupakan hasil kerjasama Pejabat Mufti, Kementerian Wakaf dan Hal-Ehwal Agama Oman dan UIAM.

Pusat Kajian dan Pengajian Oman bakal beroperasi di bawah Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan Abdul Hamid Abu Sulayman (AHAS KIRHS) di bawah kepimpinan pengarah pertamanya Prof Dr Rahmah Ahmad H. Osman.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy