AM

Syarikat Milikan Agensi KKDW Catat Prestasi Kewangan Memberangsangkan

30/10/2024 02:54 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Kesemua syarikat milikan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mencatat prestasi kewangan lebih baik pada suku ketiga tahun ini berbanding tahun lepas, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.

Rubiah berkata antara yang mencatatkan kejayaan memberangsangkan adalah Felcra Bhd dengan peningkatan pendapatan sebanyak RM1,131.49 juta setakat September berbanding RM1,019.21 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Prestasi kewangan Ketengah Holding Sdn Bhd (Ketengah) juga berada pada tahap memberangsangkan dengan pendapatan RM355.78 juta sehingga September lepas.

“Keuntungan sebelum cukai yang diperoleh Ketengah pula adalah RM355.78 juta bagi tempoh yang sama,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemukiman Syarikat Milikan Agensi di bawah KKDW di sini hari ini.

Rubiah juga berkata Kumpulan Risda Holdings Sdn Bhd, Kesedar Holdings Sdn Bhd, Keda Holdings Sdn Bhd dan Perdana Ventures Incorporated Sdn Bhd juga mencatat prestasi kewangan yang baik serta melebihi sasaran ditetapkan perancangan perniagaan masing-masing untuk tahun ini.

Beliau berkata kejayaan prestasi kewangan yang dicapai oleh semua syarikat milikan agensi KKDW itu membuktikan bahawa tatakelola pengurusan telah dilaksanakan dengan baik selaras dengan penekanan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Selain itu, sudut penetapan rancangan perniagaan yang lebih terancang dan mempunyai daya maju, maksudnya pelaksanaan aktiviti program perniagaan yang baik memberikan unjuran dan keuntungan lebih positif kepada organisasi.

“Rancangan perniagaan juga dipilih selari dengan motif atau objektif dasar KKDW dan negara dalam aspek keterjaminan makanan, harta tanah, agropelancongan dan pelbagai aktiviti lain yang menguntungkan agensi-agensi berkenaan,” katanya.

Mengenai sasaran bagi tahun hadapan, Rubiah berkata perkara itu akan ditetapkan dalam sesi pemukiman seterusnya pada Januari 2025.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy