AM

Peningkatan Agihan Keuntungan FELCRA Bukti Pembangunan Inovasi Dalam Operasi Ladang

31/10/2024 12:30 AM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Kejayaan FELCRA Berhad mencatatkan peningkatan pengagihan Keuntungan Boleh Agih Interim 2 hampir RM82 juta atau 168 peratus pada tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas, bukti komitmen syarikat itu membangunkan inovasi dalam operasi perladangan.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata inovasi berterusan yang dilaksanakan membolehkan FELCRA membangunkan tanah yang dahulunya berpaya dan menjadi habitat hidupan liar, dimajukan dengan pelbagai tanaman agrikomoditi yang memberi keuntungan berlipat ganda.

Beliau berkata FELCRA Seberang Perak contohnya, berjaya muncul sebagai ikon pembangunan luar bandar terbaik kerana ia bukan hanya menjadi kawasan sawah padi yang subur malah maju dengan kilang pemprosesan benih dan penempatan yang selesa untuk petani.

“Proses ini menunjukkan kepada kita bahawa dengan usaha dan komitmen yang berterusan, kejayaan bukan lagi impian tetapi satu realiti yang boleh dicapai.

“Ini adalah contoh yang jelas bahawa perubahan dan kemajuan boleh berlaku apabila kita bersatu padu dan bekerjasama untuk mencapai matlamat yang sama,” katanya ketika berucap pada Majlis FELCRA Visionary Award 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini malam ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan  agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 2 berjumlah RM129.81 juta itu akan dibayar secara berperingkat sekali gus memanfaatkan hampir 68,000 peserta di seluruh negara.

Sehubungan itu, bagi memastikan FELCRA dapat terus mengembangkan operasi ladangnya, Rubiah menyarankan syarikat berkenaan menggunakan teknologi moden seperti dron, Internet benda (loT), dan kecerdasan buatan (Al), yang terbukti dapat meningkatkan hasil tanaman dan memastikan proses pertanian lebih efisien serta berkesan.

Beliau juga mahu FELCRA memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran dan latihan petani kerana berdasarkan laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), peningkatan kemahiran dalam sektor pertanian boleh meningkatkan hasil pertanian hingga 20 peratus. 

“Sebagai tambahan, kita juga harus memastikan golongan wanita diberi perhatian yang sama dalam sektor pertanian kerana pemberdayaan mereka bukan sahaja membantu meningkatkan hasil pertanian malah membawa perubahan sosial yang positif,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi FELCRA Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dalam kenyataan memaklumkan syarikat itu merancang untuk memperluaskan peranannya dalam mengintegrasikan perniagaan komersial dan mandat sosial dengan lebih strategik.

Ia antaranya melalui pembangunan agropreneur dalam kalangan peserta dan masyarakat luar bandar serta pelancongan desa dan ekopelancongan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy