AM

UiTM, AGC Meterai MoU Perluas Kerjasama Strategik

30/10/2024 05:43 PM

SHAH ALAM, 30 Okt (Bernama) -- Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) memperluas kerjasama strategik dalam bidang pendidikan undang-undang, latihan profesional dan penyelidikan melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) hari ini.

MoU yang akan memberikan impak besar kepada kedua-dua pihak itu ditandatangani oleh Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib dan Peguam Negara Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, mewakili AGC pada majlis di Dewan Senat, Bangunan Canseleri, UiTM di sini.

Dalam ucapannya, Shahrin berkata melalui MoU itu mahasiswa Fakulti Undang-Undang UiTM akan mendapat akses yang lebih baik untuk menjalani latihan industri di AGC, sekali gus memberikan pengalaman praktikal serta pendedahan secara langsung kepada amalan undang-undang sebenar bagi mempersiapkan mereka menjadi siswazah yang cemerlang dan berdaya saing.

Beliau berkata MoU itu turut memberi manfaat besar kepada ahli akademik untuk menjalani sabatikal di AGC, membuka jalan kepada kerjasama dalam aktiviti akademik seperti penyelidikan, persidangan dan kursus jangka pendek yang akan menggalakkan pertukaran kepakaran antara kedua-dua institusi.

“Melalui MoU ini juga, siswazah undang-undang terbaik UiTM berpeluang dipertimbangkan untuk direkrut di bawah Program Green Harvest, satu inisiatif berprestij untuk menarik individu cemerlang menyertai perkhidmatan kehakiman dan perundangan di negara ini.

“Kerjasama ini juga membuka jalan kepada usaha sama dalam membangunkan teknologi undang-undang yang bakal memodenkan penyampaian perkhidmatan undang-undang selaras aspirasi kerajaan ke arah digitalisasi sebagaimana negara maju lain," katanya.

Shahrin berkata satu lagi aspek penting dalam MoU itu ialah pegawai undang-undang AGC yang memenuhi kriteria boleh diiktiraf sebagai Profesor Adjung UiTM, yang menunjukkan pengiktirafan universiti terhadap kepakaran dan sumbangan mereka dalam profesion perundangan.

Sementara itu, Ahmad Terrirudin berkata AGC amat terbuka dan mengalu-alukan kerjasama institusi pengajian tinggi (IPT) seperti yang dimeterai dengan UiTM ke arah memantapkan profesion guaman di negara ini.

Beliau berkata selain membuka peluang kepada mahasiswa dan pensyarah undang-undang menikmati akses, kemudahan serta pengalaman dimiliki jabatan itu seperti perpustakaan yang lengkap, AGC juga mengharapkan sokongan dan kepakaran ahli akademik dalam aspek penyelidikan.

“Kerjasama berkenaan boleh memberi manfaat kepada AGC dari sudut sokongan kepakaran dan penyelidikan akademik, satu aspek yang pihaknya agak kekurangan ketika ini.

"Bagi kami, kerjasama dengan IPT sangat penting supaya dapat terus bergerak ke hadapan selain untuk kita sama-sama membina modal insan dalam bidang guaman yang baik bermula dari bawah," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy