KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Sebanyak 56 petugas media daripada 21 agensi tempatan berpeluang merasai cabaran dilalui anggota tentera dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara sempena Program Hari Bersama Media (HBM) Kementerian Pertahanan (MINDEF) tahun ini.
Berkonsepkan “24 jam sebagai tentera”, program dua hari berakhir semalam itu berlangsung di Pangkalan Udara (PU) Jugra, Banting, Selangor dan dianjurkan Unit Komunikasi Strategik (UKS) MINDEF bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan penyeliaan Pasukan Khas TUDM (PASKAU).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penganjuran program HBM itu ialah sebahagian daripada usaha kementeriannya mengeratkan lagi hubungan dengan pengamal media selain mengangkat dan menyebarluaskan agenda pertahanan negara.
“Apabila kita mengadakan program ini kita lakukan secara terancang dan bukan kerana kita hendak tengok pihak media hebat atau tidak.
“Lebih penting, kita ingin memberikan gambaran kasar mengenai kesiagaan dan keupayaan pasukan pertahanan negara,” katanya pada Majlis Penutup HBM 2024 di Lapang Sasar Menembak Jugra, Batu Hampar, di sini semalam.
Pada program itu Bernama diwakili wartawan meja jenayah dan keselamatan Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz, wartawan Bernama TV Muhammad Hafizuddin Mohd Yusof, jurufoto Ahmad Iskandar Kamaruzaman, Eksekutif Kanan Jualan Nurulasyiha Husin dan wartawan Bernama Radio Siti Hashmarr Mohd Hashim.
Kesemua petugas media dibahagikan kepada lima kumpulan dan sepanjang 24 jam program itu mereka diuji menerusi cabaran seperti menembak raifal dan pistol, mendaki, ikhtiar hidup, memasak menggunakan rangsum tempur Angkatan Tentera Malaysia (ATM), latihan merentas halangan dan menara abseiling.
Peserta juga dapat menyaksikan beberapa demonstrasi keupayaan dan kompetensi PASKAU seperti simulasi menyelamatkan tebusan di dalam bas, penyelamatan dari sudut tinggi, penyelamatan maritim, menembak malam menggunakan kaca mata penglihatan malam, serta pameran kelengkapan termasuk senjata dan peralatan yang digunakan semasa operasi milik pasukan khas tersebut.
Dalam perkembangan lain, Khaled turut berkata negara terus memberikan perhatian kepada sektor pertahanan dan berharap masyarakat memahami peruntukan besar yang diterima MINDEF dan ATM dalam Belanjawan 2025.
“Keamanan juga ada harganya, jangan ada yang persoalkan negara aman dan tiada peperangan tidak perlu diberikan peruntukan yang besar untuk sektor pertahanan.
“Peruntukan tersebut penting supaya kesiagaan kita berada pada peringkat tertinggi dan anggota kita sentiasa bersedia memperjuangkan dan mempertahankan tanah air kita,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
--BERNAMA