EKONOMI

MPOB Sasar Lebih 90 Peratus Pekebun Kecil Bebas Terima Pengiktirafan MSPO Akhir 2025

31/10/2024 10:09 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyasarkan lebih 90 peratus pekebun kecil bebas akan mendapat pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) menjelang akhir tahun depan.

Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir mendasarkan keyakinannya itu kepada 76.9 peratus daripada jumlah keseluruhan 210,891 pekebun kecil kelapa sawit bebas yang dilesenkan dengan lembaga itu telah pun disahkan di bawah standard MSPO sekarang ini.

Kadar pematuhan yang ketara ini, yang memberikan asas kukuh bagi pematuhan selanjutnya telah dipacu oleh peranan inisiatif MPOB termasuk penyediaan bantuan kewangan dan teknikal yang berterusan, katanya menjawab pertanyaan Bernama baru-baru ini.

MPOB turut menjalankan kempen kesedaran tentang kepentingan kelestarian melalui program latihan yang disasarkan selain pelaksanaan Sistem Pengurusan Pintar Sawit (SIMS).

“SIMS bertujuan untuk menambah baik pemantauan transaksi minyak sawit, memastikan ketelusan dan kebolehkesanan yang lebih mantap di seluruh rantaian bekalan,” katanya.

MPOB juga komited dalam menyokong pekebuh kecil bebas melalu penyediaan pembiayaan penuh untuk proses audit pensijilan MSPO, katanya.

"Sokongan ini merangkumi latihan termasuk membekalkan input-input penting seperti peralatan pelindung diri (PPE) dan rak untuk menyimpan racun herba serta racun perosak.

"Dengan meringankan beban kewangan mereka, peruntukan tersebut akan menggalakkan pekebun kecil bebas bagi meneruskan pengeluaran minyak sawit yang mampan, sekali gus menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar dan kestabilan ekonomi dalam industri kelapa sawit,” katanya.

Sijil MPSO memastikan produk perladangan terutamanya minyak sawit, dihasilkan melalui kaedah lestari, menggunakan proses yang mesra alam dan selamat termasuk pematuhan amalan pertanian yang baik.

Faedah daripada mematuhi piawaian sedemikian akan memudahkan pemasaran minyak sawit Malaysia di luar negara khususnya di pasaran maju seperti Kesatuan Eropah (EU) yang sentiasa menuntut pematuhan piawaian tersebut.

Banyak negara barat termasuk EU mempunyai undang-undang yang menentang pembelian sawit minyak yang dikaitkan dengan isu alam sekitar seperti penebangan hutan dan pemusnahan hidupan liar.

Namun begitu, EU adalah pasaran penting bagi Malaysia, ia menjadi pengimport ketiga terbesar minyak sawit selepas India dan China, yang mana, ia mengimport 2.7 juta tan minyak sawit serta produk minyak sawit pada tahun lepas.

Dalam Belanjawan 2025, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM65 juta bagi mengatasi salah faham mengenai minyak sawit di peringkat antarabangsa, terutamanya daripada EU, satu langkah strategik kerajaan untuk mengukuhkan pasaran minyak sawit Malaysia.

 Menteri Komoditi dan Perladangan Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata RM50 juta daripada RM65 juta yang diperuntukkan akan digunakan untuk pensijilan MSPO; RM15 juta akan dipakai bagi menangani cabaran kempen anti-minyak sawit.

Antara kempen terbaru termasuk Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang boleh meningkatkan kos pematuhan dalam kalangan pengeluar minyak sawit global kepada US$1.5 bilion.

Dikuatkuasakan oleh EU, EUDR ialah halangan bukan tarif yang mendiskriminasi empat komoditi utama Malaysia seperti minyak sawit, getah, kayu balak dan koko, dengan menyekat akses pasaran terbuka.

Ahmad Parveez berkata mencapai amalan mampan boleh mengenakan kos tambahan kepada kedua-duanya iaitu pihak industri dan kerajaan, khususnya kepada pekebuh kecil bebas yang mempunyai sumber terhad.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy