PASARAN

Ringgit Ditutup Rendah Sedikit Berbanding Dolar AS

01/11/2024 07:02 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) --  Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS pada Jumaat menjelang pengumuman data senarai gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) malam ini dan pilihan raya presiden AS pada minggu depan, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan turun kepada 4.3780/3835 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3755/3805 pada Rabu. 

Pasaran ditutup pada Khamis sempena cuti umum perayaan Deepavali.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pasaran ringgit agak perlahan hari ini apabila mudah tunai menyusut menjelang pilihan raya AS ditambah pendekatan berhati-hati pelabur menjelang pengumuman NFP malam ini.

“Angka NFP yang lebih tinggi daripada jangkaan boleh mendorong peningkatan hasil bon dan dolar AS manakala angka yang lebih rendah mungkin boleh menyediakan peluang belian dolar AS, memandangkan peniaga cenderung kepada kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya itu,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit ditutup kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6502/6573 daripada paras penutup 5.6877/6942 pada Rabu namun susut berbanding yen Jepun kepada 2.8652/8690 daripada 2.8591/8625 dan turun berbanding euro kepada 4.7532/7592 daripada 4.7430/7485. 

Sementara itu ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang negara ASEAN lain.

Unit tempatan naik sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 278.2/278.7 daripada 278.5/279.0 dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3054/3098 daripada 3.3080/3120. 

Ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.49/7.51 daripada paras penutup 7.51/7.52 pada Rabu dan menokok berbanding baht Thai kepada 12.9103/9322 daripada 12.9837/13.0047.   

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy