AM

DOSM Terbit Laporan KSH 2023, Bangunkan Kalkulator MyPAKW

02/11/2024 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini menerbitkan laporan Indikator Kos Sara Hidup (KSH) 2023 sempena Majlis Ulang Tahun Jubli Intan ke-75 DOSM yang merangkumi 15 penerbitan termasuk Malaysia dan 14 penerbitan mengikut negeri dan Wilayah Persekutuan bagi tahun lepas. 

Indikator KSH yang terdapat dalam penerbitan itu ialah Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) dan Indeks Kos Sara Hidup (IKSH) dengan PAKW dianalisis berdasarkan perincian demografi yang meliputi ciri-ciri isi rumah, saiz isi rumah dan lokasi.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata PAKW merujuk kepada jumlah perbelanjaan bulanan diperlukan isi rumah atau individu untuk mencapai tiga aspek kehidupan wajar iaitu keperluan, kehendak dan kemampuan untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan atau penyertaan sosial. 

"Pembangunan PAKW bermula pada tahun 2018 dengan mengambil kira corak perbelanjaan isi rumah berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah.

"Nilai PAKW ditentukan dua faktor utama iaitu lokasi dan ciri demografi seperti umur, jantina dan saiz isi rumah. Oleh itu, nilai PAKW bagi setiap isi rumah berbeza-beza bergantung kepada ciri demografi dan lokasi tempat kediaman," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

Mohd Uzir berkata PAKW turut mengguna pendekatan mengambil kira kos makan di luar dan konsep minimum pelbagai untuk pilihan perbelanjaan makanan serta keperluan diet asas yang memenuhi keperluan pemakanan seimbang mengikut piawaian Pengambilan Nutrien yang Disyorkan (RNI) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Selain itu, Mohd Uzir juga memaklumkan DOSM juga membangunkan kalkulator PAKW iaitu MyPAKW untuk menganggar jumlah perbelanjaan asas bagi taraf kehidupan wajar berdasarkan maklumat seperti demografi dan lokasi, jantina, umur serta bilangan ahli isi rumah.

"Setiap individu dan isi rumah mempunyai corak perbelanjaan yang berbeza. Kalkulator MyPAKW membolehkan orang ramai mengetahui nilai rujukan mereka bagi perbelanjaan asas kehidupan di kawasan dan lokasi masing-masing," katanya.

MyPAKW boleh dimuat turun di aplikasi Play Store atau App Store selain boleh diakses melalui laman web https://mypakw.dosm.gov.my/.

Mohd Uzir turut memaklumkan selain Malaysia, negara lain di seluruh dunia juga menilai kos kehidupan wajar dengan menggunakan pelbagai istilah seperti Indeks Kos Sara Hidup, Indeks Harga Kos Kehidupan Isi Rumah (HLPIs) dan Taraf Kehidupan Wajar.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy