AM

ARCHIDEX 2025 Bakal Tampil 850 Pempamer, Rai 56,000 Pengunjung Global

02/11/2024 09:20 PM

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Seramai 56,000 pengunjung dijangka menghadiri Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa (ARCHIDEX) 2025 di ibu negara pada Julai depan.

ARCHIDEX edisi ke-24 itu juga bakal menampilkan 850 pempamer di ruang pameran seluas 34,000 meter persegi di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Acara anjuran bersama Institut Arkitek Malaysia (PAM) dan C.I.S Network Sdn Bhd itu turut menghimpunkan kalangan profesional dan peminat seni bina, reka bentuk dalaman dan bangunan selain peserta dari lebih 110 negara dan wilayah.

Sebagai komponen teras Festival Seni Bina Kuala Lumpur (KLAF), ARCHIDEX 2025 dijadual berlangsung serentak dengan Minggu Seni Bina KL yang julung kali diadakan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata sejajar dengan persiapan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun depan, kerajaan menjangkakan sinergi lebih ketara, penyertaan pembeli yang lebih ramai selain peningkatan peluang perniagaan serta rangkaian pada acara ini.

“Kesemua usaha ini bertujuan meningkatkan standard perumahan dan memastikan infrastruktur yang berdaya tahan,” katanya dalam satu kenyataan bersempena majlis pelancaran awal ARCHIDEX 2025 di sini pada 29 Okt, 2024.

Pada majlis itu, Nga turut mengumumkan kerajaan akan menganjurkan Sidang Kemuncak Hartanah ASEAN 2025 yang menjadi sebahagian daripada kepengerusian ASEAN 2025 serta bertepatan dengan ARCHIDEX 2025.

Sidang kemuncak itu bertujuan mengukuhkan sektor perumahan dan hartanah Malaysia menerusi kerjasama dengan pihak berkepentingan industri, termasuk arkitek bagi mengakses pasaran ASEAN yang diunjurkan muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030.

Nga berkata ini juga seiring dengan visi kerajaan untuk mengubah Malaysia daripada menjadi pintu masuk kepada sebuah hab pusat ASEAN.

Dalam pada itu, Presiden PAM Prof Adjung Ar Adrianta Aziz berkata acara utama ARCHIDEX iaitu DATUM 2025 akan diadakan di dua lokasi berkenaan pada tahun depan yang mengetengahkan barisan penceramah tempatan serta antarabangsa dan menyentuh pelbagai projek inovatif.

Presiden C.I.S Datuk Vincent Lim pula berkata ARCHIDEX 2025 akan berkongsi trend penting dalam industri bangunan.

“Pasaran pintu dan tingkap ASEAN diunjur berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun enam peratus menjelang 2027 manakala pasaran kaca Asia-Pasifik dijangka mencecah US$87 bilion menjelang 2028.

“FENESTEX (Pameran Seni Peningkapan dan Teknologi ASEAN) akan menjadi pameran unik yang memberi takrifan semula penyelesaian bangunan mampan dengan trend produk pada tingkap, pintu, kaca dan fasad," katanya.

Minggu Seni Bina Kuala Lumpur 2025, acara Seni Bina KL pertama di Malaysia, akan berlangsung selama enam hari dengan pelbagai festival di beberapa lokasi utama dari KLCC ke MITEC.

Vincent berkata Minggu Seni Bina Kuala Lumpur itu bertujuan menyerlahkan bandar raya ini sebagai metropolis yang berdaya tahan, mampan dan inklusif.

“Platform ini akan mengetengahkan keunikan tapak warisan, memacu sektor pelancongan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Apa yang utama, menerusi inisiatif ini juga kita berharap dapat menyokong aspirasi kerajaan dalam mentransformasi Malaysia sebagai hab atau pusat ASEAN," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy