AM

Lebih 1,100 Peluang Pekerjaan Ditawar Pada Pameran Kerjaya Dan Latihan Sarawak 2024

02/11/2024 10:26 PM

SIBU, 2 Nov (Bernama) -- Lebih 1,100 peluang pekerjaan merentasi pelbagai sektor disediakan pada Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT) 2024 anjuran Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak.

Menteri berkenaan Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata pameran itu adalah inisiatif utama di bawah kementeriannya dengan kerjasama beberapa rakan strategik termasuk Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bersama agensi lain.

“Pameran SCaT adalah platform penting untuk pencari kerja, pelajar dan pendidik untuk mendapatkan pandangan mengenai pelbagai peluang kerjaya serta latihan,” katanya pada majlis perasmian pameran itu di stadium tertutup di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Dr Annuar Rapaee.

Sagah berkata sejak 2023, MEITD Sarawak telah menganjurkan Pameran SCaT di dua lokasi setiap tahun bagi memastikan akses lebih luas kepada orang awam yang menyaksikan edisi 2023 berlangsung di Kuching dan Miri manakala pada tahun ini, ia diperluas bagi merangkumi Kuching dan Sibu dengan masing-masing berlangsung pada 5 hingga 6 Okt lepas sebelum diadakan di sini.

Beliau berkata memandangkan Sarawak berusaha menjadi negeri berpendapatan tinggi, langkah memupuk tenaga kerja mahir adalah bertujuan menyokong matlamat pembangunan negeri manakala acara seperti Pameran SCaT penting untuk merapatkan jurang antara bakat dan peluang.

“Menerusi pasaran pekerjaan yang kian pesat berkembang ketika ini, akses kepada maklumat mengenai laluan kerjaya berpotensi dan program latihan adalah penting untuk pertumbuhan peribadi dan profesional,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy