KUALA LUMPUR, 3 Nov Bernama) -- Pada awal pembabitannya dalam dunia pengacaraan sekitar 2007, Fiza Sabjahan pernah dianggap tidak memenuhi “beauty standards” atau paras kecantikan sebagai seorang hos.
Namun, beliau memilih untuk tidak mengendahkan pandangan itu kerana lebih percaya pada bakatnya, dan kemenangan beliau sebagai Pengacara Televisyen (TV) Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa 2024, membuktikan kekuatan seseorang pengacara terletak pada keperibadian dan kemahiran menambat hati penonton.
“Masa mula-mula saya ceburkan diri dalam bidang pengacaraan, saya diberi peluang mengendalikan program besar seperti Nona. Pada ketika itu, ada orang yang berpendapat saya tidak cukup cantik untuk mengemudi program tersebut. Namun, ramai individu yang kini sudah menjadi bos saya, mengatakan bahawa kami bekerja berdasarkan bakat.
“Mereka menasihati saya untuk percaya pada rezeki Allah, kerana suatu hari nanti orang akan melihat bakat yang saya miliki. Nasihat itu memberi dorongan kepada saya untuk terus berusaha dan memberikan yang terbaik dalam setiap tugasan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memenangi anugerah berprestij di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya baru-baru ini.
Fiza juga percaya peluang yang diberikan kepadanya dalam mengemudikan pelbagai program sejak hampir dua dekad dalam industri hiburan, turut membantu beliau mempelajari banyak perkara baharu, terutamanya bagi memenuhi perubahan cita rasa penonton, dari semasa ke semasa.
pic-2
“Saya tiada resipi kejayaan tertentu, tetapi saya percaya asalkan kita tidak menganiayai orang, tidak mengganggu orang, dan menjalankan kerja sebaik mungkin, itu sudah memadai. Saya rasa walaupun saya sudah lama dalam industri, tidak salah untuk belajar perkara baharu daripada mereka yang lebih baru, kerana zaman telah berubah, penonton juga telah berubah, dan generasi pun telah berubah. Kita pun perlu mengubah diri kita,” katanya, menambah bahawa beliau kini gemar menonton kandungan dalam talian seperti podcast untuk belajar cara menambat hati generasi baharu.
Personaliti TV berusia 42 tahun itu juga mendedahkan bahawa banyak perkara terpaksa dikorbankan untuk mencapai tahap sekarang, termasuk masa bersama keluarga, disebabkan oleh tuntutan kerja.
Beliau juga melihat kemenangan itu bukan sebagai tanda untuknya bersenang-lenang, tetapi sebagai peluang mencuba bidang pengacaraan lain seperti Travelog.
Pada masa sama, beliau berkata kemenangan itu juga dikongsikan dengan kakaknya, Allahyarham Siti Hajar yang meninggal dunia pada 2018, kerana katanya, arwah merupakan pengkritik dan penyokong utama beliau.
Bekas pramugari ini turut meluahkan hasrat melahirkan lebih ramai generasi pelapis yang dapat mencapai kejayaan dalam bidang pengacaraan.
“Saya percaya kejayaan seseorang itu akan lebih bermakna jika mereka dapat melahirkan individu lain yang mampu mencapai kejayaan seperti mereka,” katanya, merujuk pengalamannya sebagai “gadis cuaca” di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
-- BERNAMA