DUNIA

AR Rahman, Isteri Umum Bercerai Selepas 29 Tahun Bersama

20/11/2024 05:50 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 20 Nov (Bernama) -- Maestro muzik Bollywood AR Rahman dan isterinya, Saira Banu mengumumkan perceraian mereka selepas 29 tahun berkahwin.

Pemenang Anugerah Akademi (Oscar) dan Grammy itu dalam catatan media sosial mengucapkan terima kasih kepada peminatnya kerana menghormati privasi mereka, sambil kedua-duanya bercakap tentang "kesakitan dan penderitaan" dalam mengakhiri hubungan mereka.

"Keputusan ini dibuat selepas tekanan emosi yang ketara dalam hubungan mereka. Walaupun mereka saling mencintai, pasangan itu mendapati bahawa ketegangan dan kesukaran telah mewujudkan jurang yang tidak dapat diatasi antara mereka, yang tidak dapat dirapatkan oleh mana-mana pihak pada masa ini," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam mereka pada petang Selasa.

AR Rahman, 57, dilahirkan di Chennai, Tamil Nadu dan memeluk Islam pada usia 20-an.

Saira dilahirkan pada 1973 di daerah Kutch, Gujarat, aktif dalam aktiviti sosial dan kebajikan.

Pasangan itu mempunyai tiga orang anak -- dua anak perempuan, Khatija Rahman dan Raheema Rahman, serta seorang anak lelaki, Ameen -- hasil perkahwinan mereka pada 1995.

"Kami berharap dapat mencapai angka tiga puluh tahun bersama, tetapi segala-galanya, nampaknya, mempunyai pengakhiran yang tidak kelihatan," kata AR Rahman di X.

"Namun, dalam kehancuran ini, kami mencari makna, walaupun kepingan itu mungkin tidak mendapat tempatnya lagi. Kepada rakan-rakan kami, terima kasih atas kebaikan anda dan kerana menghormati privasi kami semasa kami melalui bab yang rapuh ini," tambahnya.

Maestro itu terkenal dengan pelbagai gubahan popular untuk industri filem Hindi Bollywood yang berpangkalan di Mumbai serta kerjasama antarabangsa.

Beberapa filem terkenal dengan runut bunyi yang dihasilkannya termasuk Slumdog Millionaire, Jodha Akbar, Lagaan, dan Taal.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy