RENCANA

Perlunya Undang-undang Tangani Jerebu Rentas Sempadan Demi Udara Bersih- Pakar

06/11/2024 01:28 PM
Daripada Soon Li Wei

Kemerosotan kualiti udara dan jerebu merupakan isu besar bagi mereka yang mempunyai masalah respiratori dan alergi.

Namun, lebih membimbangkan ialah kajian dan bukti pemerhatian antarabangsa menunjukkan pencemaran udara merupakan “faktor risiko bagi pelbagai masalah kesihatan mental”.

Melihat pada peningkatan kesan pencemaran udara ini ke atas kesihatan dan kesejahteraan manusia, pakar tempatan mengulangi gesaan agar kerajaan menggubal undang-undang seperti Akta Jerebu Rentas Sempadan dan Akta Udara Bersih bagi mengurangkan pencemaran udara dan jerebu melalui pematuhan mandatori terhadap piawaian kualiti udara persekitaran yang diiktiraf global.

Menurut laporan edisi kelima State of Global Air oleh Health Effects Institute yang dikeluarkan pada 19 Jun lalu, pencemaran udara menjadi “faktor risiko global utama yang kedua bagi kematian” dan menyumbang kepada 8.1 juta kematian di seluruh dunia pada 2021. 

Sementara itu di Malaysia, Lancet Countdown on Health and Climate Change dalam data 2004 yang dikeluarkan pada 30 Okt tahun ini, menyatakan kira-kira 19,100 kematian pada 2021 disumbangkan oleh faktor pencemaran udara antropogenik, iaitu pencemaran udara yang berlaku akibat kegiatan manusia. 


Haze situation in Kuching, Sarawak in May 2024

IMPAK PSIKOLOGI

Menurut Prof. Adjung Pusat Sunway bagi Kesihatan Planet Dr Amir Hamzah Abdul Latiff, perubahan iklim akan meningkatkan risiko kesihatan, terutama bagi golongan rentan, khususnya mereka yang mempunyai masalah respiratori dan daya imun, baik kanak-kanak mahupun orang dewasa.

"Apabila kualiti udara semakin merosot, kita akan dapat lihat peningkatan kes penyakit berkaitan haba, alergi dan respiratori dalam kalangan pesakit muda,” kata Dr Amir Hamzah yang juga Perunding Kanan Imunologi Klinikal, Alergi dan Pediatrik Hospital Pantai Kuala Lumpur kepada Bernama.

Sambil menggesa pihak berkuasa memperkukuh sistem penjagaan kesihatan bagi mendepani ancaman yang semakin besar itu, beliau berkata Malaysia dan seluruh Asia memerlukan "dasar dan intervensi penjagaan kesihatan berkaitan iklim yang dapat melindungi generasi termuda serta golongan paling rentan dalam kalangan kita, pada kadar segera”.

Mengulas laporan British Journal of Psychiatry bahawa kualiti udara tidak sihat berpotensi memberi kesan kepada kesihatan mental, malah menyebabkan kemurungan, kebimbangan, psikosis serta mungkin gangguan neurokognitif seperti demensia, pengamal kesihatan mental Jolene Tan berkata apabila tahap pencemaran udara tinggi, orang ramai cenderung berada di dalam rumah.

Keadaan ini mungkin menyebabkan mereka berasa terasing dan tertekan, terutama bagi yang gemarkan kehidupan aktif di luar. 

“Selain itu, rasa tidak selesa akibat jerebu seperti masalah pernafasan dan gatal-gatal pada mata juga boleh menjejaskan tidur dan mood, yang lama-kelamaan boleh menyebabkan kebimbangan melampau dan rasa tidak bersemangat.

“Isu kesihatan mental ini adalah sebahagian daripada cara pencemaran memberi kesan kepada kita walaupun pada kebanyakan masa kita tidak sedar akan kaitan ini,” kata Tan yang juga pengasas GreenWeiVe.


Jolene Tan

Menurut pakar psikologi alam sekitar Monash University Malaysia Dr Ooi Wee Liam, mereka yang menghela nafas dalam udara tercemar mengalami perubahan pada bahagian otak yang mengawal emosi.

“Akibatnya, mereka lebih berkemungkinan mengalami kebimbangan dan kemurungan berbanding individu yang bernafas dalam udara lebih bersih,” katanya.

Sambil memberi amaran bahawa pencemaran udara dan kesihatan mental merupakan cabaran besar yang harus didepani dunia sekarang dan pada tahun-tahun mendatang, Ooi berkata ada bukti pemerhatian antarabangsa yang mengaitkan pencemaran udara di luar dengan faktor risiko bagi pelbagai isu kesihatan mental, termasuk kemurungan, kebimbangan, gangguan personaliti dan skizofrenia. 

“Mereka dapati orang yang tinggal di kawasan mengalami pencemaran zarah lebih tinggi seperti kawasan bandar, berisiko besar mengalami skizofrenia, kemurungan dan kebimbangan,” katanya.

 

HAK KEPADA UDARA  BERSIH 

Berhubung gesaan penggubalan undang-undang bagi menangani masalah kemerosotan kualiti udara di Malaysia, khususnya ketika jerebu yang berlaku disebabkan oleh kegiatan pembakaran hutan di luar negara, pakar strategi kempen Greenpeace Rantau Asia Tenggara Heng Kiah Chun berkata syarikat perladangan yang didakwa melakukan pembakaran bagi membersihkan hutan perlu dipertanggungjawabkan.  

“Akta Jerebu Rentas Sempadan perlu digubal sebagai pencegah, kerana ada syarikat tidak beretika dalam industri (perladangan). Akta ini menyediakan asas undang-undang bagi setiap negara (di Asia Tenggara) melaksanakan semak dan imbang untuk memastikan syarikat masing-masing beroperasi secara bertanggungjawab,” katanya.

Beliau juga menyambut baik laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bertajuk “Silent Enemy: Report on Haze Pollution and the Right to Clean Air” yang dilancarkan pada 26 Sept 2024.


Greenpeace Southeast Asia regional campaign strategist, Heng Kiah Chun (left), Human Rights Commission of Malaysia (SUHAKAM) vice chairman Tengku Mohamed Fauzi Tengku Abdul Hamid (middle) and CERAH Malaysia member and Bar Council environment and climate change committee chairman Kiu Jia Yaw (right). (Pix courtesy of SUHAKAM)

Heng berkata laporan itu, antara lain, mengesyorkan penggubalan Akta Udara Bersih yang diperkasa dengan mekanisme bagi menangani pencemaran jerebu rentas sempadan di Malaysia.

“Akta Udara Bersih yang disarankan ini akan menyediakan undang-undang ‘kerangka kerja’ yang amat diperlukan bagi mengatasi jerebu rentas sempadan serta pelbagai sumber pencemaran udara, termasuk perniagaan dan kilang-kilang, melalui pematuhan mandatori kepada piawaian kualiti udara persekitaran yang diiktiraf global.  

“Akta ini juga mengupayakan kerajaan membawa rakyat dan perniagaan berpangkalan di Malaysia yang menyumbang kepada pencemaran rentas sempadan ke muka pengadilan di Malaysia,” katanya.

 

PERKUKUH RANGKA KERJA PERUNDANGAN  

Naib Pengerusi Suhakam Tengku Mohamed Fauzi Tengku Abdul Hamid berkata laporan Suhakam itu turut menggariskan lima syor lain, antaranya meminda Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 bagi menambah baik akses kepada keadilan alam sekitar.

Laporan turut mengesyorkan agar Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) ditambah baik bagi memperkukuh undang-undang di ASEAN, mempercepat penggubalan Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia, serta melaksanakan Matlamat Pembangunan Mampan.

“Memandangkan Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025, (ini dilihat) satu langkah baik (bagi kerajaan kita) untuk menerajui di peringkat ASEAN, dengan mengesyorkan pembangunan protokol AATHP bagi mewujudkan komitmen bahawa setiap negara anggota perlu menggubal undang-undang yang memastikan rakyat dan syarikat negara itu bertanggungjawab ke atas ‘sumbangan’ mereka kepada kebakaran hutan dan daratan,” katanya.   

(AATHP ialah perjanjian alam sekitar yang ditandatangani oleh negara anggota ASEAN pada 2002, bertujuan mengurangkan pencemaran jerebu di Asia Tenggara)


Human Rights Commission of Malaysia (SUHAKAM) vice chairman Tengku Mohamed Fauzi Tengku Abdul Hamid (five from left) and CERAH Malaysia member and Bar Council environment and climate change committee chairman Kiu Jia Yaw (four from left) during the report launch of Human Rights Commission of Malaysia (Suhakam) titled ‘Silent Enemy: Report on Haze Pollution and the Right to Clean Air’, on Sept 26. (Pix courtesy of SUHAKAM)

Tengku Mohamed Fauzi berkata syor yang digariskan dalam laporan mereka bertujuan menangani jurang dalam kerangka kerja perundangan berkaitan jerebu dan lain-lain bentuk pencemaran udara.

“Memetik cadangan penting dalam laporan itu, pencemaran udara tidak boleh ditangani secara bersendirian. Begitu juga kualiti udara yang tidak boleh ditambah baik dan dilindungi dengan sekadar mengubah sistem perundangan.

“Hak kepada udara bersih hanya dapat dilindungi melalui pendekatan pembangunan secara bersepadu, iaitu melibatkan semua kerajaan dan masyarakat,” katanya, menambah Suhakam akan membentangkan laporan itu pada persidangan Parlimen akan datang. 

Ahli CERAH Malaysia serta Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Majlis Peguam Malaysia Kiu Jia Yaw berkata laporan Suhakam boleh digunakan untuk mengesahkan penyataan masalah berkaitan pencemaran udara dan jerebu, selain sebagai sokongan kepada kerja-kerja advokasi oleh NGO.   

 Mengulas cadangan Akta Jerebu Rentas Sempadan, beliau mengesyorkan agar negara anggota ASEAN memastikan perniagaan milik mereka bertanggungjawab terhadap operasi di seberang laut melalui perundangan yang bertujuan menangani jerebu rentas sempadan.

Beliau berkata Indonesia mendedahkan pada 2023, sebanyak 203 syarikat diberikan amaran dan 20 lagi diarah tutup disebabkan oleh penglibatan mereka dalam kebakaran hutan. Syarikat-syarikat terbabit termasuk subsidiari syarikat Malaysia.

“Jika memang benar subsidiari-subsidiari tersebut berkait dengan syarikat Malaysia, kerajaan boleh memanggil mereka untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan pembakaran di atas tanah konsesi mereka,” katanya.

Tambahnya, jika Malaysia menggubal undang-undang bagi menangani jerebu rentas sempadan, ia harus terpakai kepada syarikat Malaysia sahaja, tidak seperti undang-undang serupa di Singapura yang dikatakan ada kuasa terhadap entiti luar negara.

“Setiap negara harus mengawal selia syarikat sendiri dan tidak campur tangan dalam syarikat negara lain bagi mengelakkan timbul isu  berkaitan kedaulatan,” katanya.

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy