SHAH ALAM, 6 Nov (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) masih meneliti representasi kedua dikemukakan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi menggugurkan dua pertuduhan menghasut terhadapnya berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik pada Julai tahun lepas.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aslam Zainuddin, hari ini.
Susulan itu, Masri berkata beliau memohon tarikh sebutan baharu bagi keputusan berhubung representasi tersebut.
“Pihak kami masih meneliti representasi dikemukakan tertuduh. Kami masih tidak dapat memberikan keputusan pada hari ini. Saya cadangkan satu tarikh sebutan baharu untuk kita dapatkan keputusan iaitu pada 10 Dis 2024 dan dapatkan tarikh perbicaraan untuk pihak-pihak (pembelaan dan pendakwaan),” katanya.
Sementara itu, peguam Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah, mengesahkan perkara berkenaan dan bersetuju dengan cadangan tarikh yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Hakim Aslam kemudian menetapkan 10 Dis ini sebagai tarikh sebutan semula bagi prosiding keputusan representasi itu.
“Saya tidak akan tetapkan tarikh bicara terlebih dahulu sebab kalau ada keputusan memihak kepada pembelaan nanti.
“Saya tetapkan 10 Dis. Saya harap ia adalah tarikh akhir serta keputusan (representasi) boleh diperoleh pada tarikh itu,” katanya.
Pada prosiding sebelum ini, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Muhammad Sanusi memohon pertuduhan terhadap anak guamnya ditarik balik selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Menteri Besar Kedah itu.
Peguam pemerhati Datuk Seri Salehuddin Saidin pula mengesahkan terdapat jawapan bertulis daripada Sultan Selangor yang berkenan memberikan pengampunan kepada Muhammad Sanusi.
Pada 26 Sept lepas, Sultan Selangor berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Muhammad Sanusi.
Sultan Sharafuddin dalam warkah perkenan ampun yang dimuat naik menerusi hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office memaklumkan baginda mempertimbangkan dan menerima permohonan ampun dan maaf itu atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu.
Pada 18 Julai 2023, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Feb lepas untuk dibicarakan.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam 11 Julai 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA