KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah menyediakan laporan kajian mengenai aktiviti kartel melibatkan padi dan beras, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata kajian itu termasuk kemungkinan penyalahgunaan kedudukan dominan mana-mana syarikat yang mengawal bekalan benih, import dan sebagainya.
“Berkenaan beras dan petani, saya nak maklumkan MyCC sudah menyiapkan laporan kajian mereka berkenaan kartel padi dan beras. Tetapi saya tidak boleh dedahkan di sini lagi sehingga laporan rasmi itu didedahkan, tetapi (ia) sudah pun diselesaikan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) yang ingin tahu usaha kementerian dalam mengawal harga beras dan cadangan untuk menaikkan harga lantai belian padi yang ketika ini ditetapkan pada RM1,300 satu tan.
Menjawab soalan asal Shahidan mengenai usaha kerajaan dalam menangani masalah kartel dan monopoli yang mempengaruhi kenaikan harga barang, Fuziah berkata MyCC memainkan peranan untuk menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya terdapat sebarang aktiviti kartel dan monopoli pada sepanjang rantaian sesuatu bekalan.
“Kartel ini apabila ada beberapa syarikat berpakat untuk mengawal harga contohnya melibatkan makanan haiwan dan di sepanjang rantaian bekalan itu kalau berlaku mereka berpakat maka harga makanan akan meningkat.
“Monopoli pula apabila ada satu syarikat menyalah guna kuasa dominannya untuk meletakkan syarat berbeza sehingga dia dapat keuntungan dari situ…dalam keadaan ini MyCC memainkan peranan buat siasatan dan mengenakan tindakan sekiranya ada berlaku keadaan kartel dan monopoli,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai status terkini program Menu Rahmah, Fuziah berkata pemegang kad diskaun Menu Rahmah kini boleh membuat pembelian di Jualan Rahmah yang diadakan di seluruh negara.
Beliau berkata kelonggaran itu diberikan kepada operator Menu Rahmah bagi memudahkan mereka mendapatkan barangan asas pada harga murah berbanding membeli di pasar raya yang agak sukar kerana sistem pengurusan yang berbeza.
“Kita perkenalkan kad diskaun Menu Rahmah pada November tahun lepas untuk memberi diskaun kepada pengusaha Menu Rahmah supaya mereka dapat beli barang keperluan, namun kita dapati selepas beberapa bulan ada masalah kerana pasar raya yang menawarkan perkhidmatan diskaun ini ada sistem berbeza dan satu kad tak dapat diguna pakai di semua pasar raya.
“Tetapi kita dah atasi dengan menawarkan kad diskaun kepada operator Menu Rahmah untuk mereka beli di Jualan Rahmah yang sebelum ini tidak dibenarkan kepada peniaga,” katanya.
-- BERNAMA