JOHOR BAHRU, 6 Nov (Bernama) -- Polis sedang mengesan pemandu lori yang tular memandu melawan arus di KM 14 Lebuhraya Pasir Gudang sehingga menyebabkan kemalangan pada awal pagi Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt. Mohd Sohaimi Ishak berkata pihaknya telah menerima laporan kes kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda Civic dengan sebuah lori yang tidak dapat dipastikan jenisnya.
“Kemalangan dipercayai berlaku Isnin lepas kira-kira pukul 2 pagi, semasa pemandu kereta jenis Honda Civic yang dipandu oleh seorang lelaki warga asing Indonesia berumur 18 tahun memandu di lorong kanan dikejutkan dengan sebuah lori yang memandu dengan cara melawan arus.
“Pemandu kereta itu yang cuba untuk mengelak lori tersebut telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kanan jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemandu terbabit mengalami kecederaan pada bahagian dahi, tangan kanan dan kaki kanan serta telah menerima rawatan luar di Hospital Sultan Ismail.
Menurutnya kes berkenaan masih dalam siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan usaha untuk mengesan pemandu lori itu diteruskan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Zeyrul Mohd Redzwan di talian 019-5324272,” katanya.
Sebelum ini, tular dua rakaman video berdurasi sembilan saat dan 16 saat yang dimuat naik di laman facebook milik ‘Nurul Balqish’ memaparkan sebuah lori dipandu dalam keadaan melawan arus sebelum bertembung dengan sebuah kereta.
-- BERNAMA