AM

JAKIM Akan Bangunkan Sistem Pelaporan Berpusat, Tangani Kes Eksploitasi Libatkan GISBH

06/11/2024 03:39 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan membangunkan sistem pelaporan berpusat bagi membolehkan orang ramai melaporkan kes eksploitasi kanak-kanak dan wanita melibatkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH). 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan berkata sistem itu membolehkan mana-mana pihak melaporkan kes berkenaan secara terus kepada pihak berkuasa dengan tindakan segera.

Beliau berkata penyelarasan aduan itu juga dilaksanakan secara strategik antara JAKIM dengan Jabatan Agama Islam Negeri. 

“JAKIM menyedari terdapat keperluan membuat penambahbaikan dalam gerak kerja menangani isu GISBH dan isu ajaran sesat di negara ini. Bagi kes GISBH, siasatan mendapati wujud kes eksploitasi kanak-kanak dan wanita yang menimbulkan keperluan untuk penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) pelaporan kes ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai kes GISBH dan langkah kementerian untuk memperkukuh SOP pelaporan agar setiap laporan yang diterima diambil tindakan dengan segera.

Zulkifli berkata kerjasama sedia ada antara Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa agama negeri perlu dipertingkatkan untuk tindakan yang lebih pantas. 

“Langkah-langkah ini penting bagi memastikan laporan yang diterima dapat perhatian segera bagi melindungi kanak-kanak, wanita dan semua yang sering terdedah kepada pelbagai ancaman dan eksploitasi,” katanya. 

Pada soalan tambahan, beliau berkata mesyuarat penyelarasan dengan ketua pegawai agama negeri-negeri telah memutuskan untuk merangka pelan tindakan GISBH menerusi pemulihan akidah, semakan perkahwinan, zakat dan modul pembangunan. 

“Melalui pelan GISBH itu, ia melibatkan aspek pemulihan akidah diterajui JAKIM, semakan perkahwinan oleh Jabatan Agama Islam Negeri manakala membantu golongan yang memerlukan ialah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) yang telah melihat aspek zakat dan tujuh modul pemulihan dibangunkan serta menempatkan mereka di pusat pemulihan,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy