JENAYAH & MAHKAMAH

15 Pendatang Asing Disumbat Dalam Kereta Mercedes Benz, Grand Livina

06/11/2024 05:08 PM

KOTA BHARU, 6 Nov (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) telah menahan 15 pendatang tanpa izin warga Myanmar yang diseludup masuk ke negara ini menggunakan kereta Mercedes Benz dan Nissan Grand Livina di Kampung Kok Keli, Tumpat, semalam.

Dalam operasi "Op Taring Wawasan Kelantan", Batalion 8 PGA menyerbu sebuah rumah di kampung berkenaan sekitar pukul 10 malam dan menemui 14 lelaki serta seorang wanita dalam kedua-dua kenderaan tersebut.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata dua lelaki yang disyaki sebagai tekong darat cuba melarikan diri dari lokasi namun seorang daripada mereka yang merupakan warganegara tempatan berusia 58 tahun berjaya ditahan.

"Kesemua pendatang gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai diseludup masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua pendatang tanpa izin ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah manakala tekong darat tersebut ditahan di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Sementara itu, polis turut menahan dua lelaki kerana disyaki mengedar syabu seberat 3.1 kilogram yang dianggarkan bernilai RM99,200 di sekatan jalan raya (SJR) Banggol Kong, Pasir Mas, semalam.

Nik Ros Azhan berkata kedua-dua suspek, masing-masing berusia 36 dan 44 tahun, ditahan ketika berada dalam sebuah kereta jenis Volkswagen yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di SJR berkenaan.

Beliau berkata dalam kejadian pada 11.30 malam itu, pemeriksaan lanjut menemukan dadah tersebut di but kereta.

Berikutan itu, pihaknya merampas kereta berkenaan, empat unit telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM36,155.

"Kedua-dua suspek disahkan positif methamphetamine manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

-- BERNAMA


 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy