KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Sebanyak 10 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dipilih sebagai pemenang utama bagi kohort kedua “E-Commerce Xccelerator (ECX) 2024” Selangor anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).
Pemenang itu ialah Wellness Cosmetology Alliance Lab Sdn Bhd; Nasi Lemak Nale Sdn Bhd; Ominent Sdn Bhd; Eartheories Sdn Bhd; Gelatomio Production Sdn Bhd; Saudagaar Asia Sdn Bhd; Kimyra International Sdn Bhd; Natugee Sdn Bhd; MCCKT Ventures Sdn Bhd; dan Naza Beyond Ventures.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han yang mengumumkan senarai itu berkata para pemenang akan menerima akses eksklusif kepada program khas yang ditawarkan oleh syarikat induk TikTok, ByteDance, di Shanghai.
“Ini memberikan fahaman berharga kepada pemenang mengenai pasaran global, rangkaian dengan peneraju industri dan pendedahan kepada aliran terkini dalam e-dagang dan pemasaran digital.
“Selain itu, 10 pemenang utama ini akan menerima kredit 30,000 daripada Pos Malaysia, menjadikan jumlah pakej hadiah bernilai RM300,000,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada hari demo akhir ECX24 di sini, Selasa.
Beliau berkata dengan memupuk PKS yang berpotensi tinggi, program ECX bertujuan menyumbang kepada matlamat Selangor untuk mewujudkan 5,000 usahawan celik digital dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Pada 2023, e-dagang di Selangor menyumbang hampir RM400 bilion dari segi transaksi, menjadikan Selangor sebagai pemacu penting bagi ekonomi digital Malaysia.
“Memandangkan ekonomi digital diunjurkan menyumbang secara ketara kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara pada 2025, inisiatif seperti ECX menjadi semakin lebih penting berbanding sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping berkata hari demo akhir ECX 2024 menunjukkan komitmen Selangor untuk menyokong inovasi dalam teknologi runcit dan perdagangan digital.
“Peserta ini menunjukkan daya tahan, kreativiti, dan berpandangan jauh yang diperlukan untuk memacu ekonomi Malaysia ke hadapan,” katanya.
Program ECX24 telah membangunkan sebuah platform untuk syarikat pemula niaga serta PKS untuk memperoleh akses pasaran, pendedahan jenama dan minat pelabur, menyediakan sumber untuk berkembang dan bersaing dalam pasaran digital.
Peserta juga mendapat manfaat daripada faedah eksklusif, seperti perkhidmatan awan daripada Amazon Web Services dan Microsoft Azure, yang termasuk akses kepada model kecerdasan buatan seperti GPT-4 oleh Open AI dan Llama 2.
-- BERNAMA