KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Kerajaan masih terbuka untuk berunding dengan mana-mana Ahli Parlimen, termasuk wakil rakyat pembangkang berhubung penyaluran peruntukan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Fadillah Yusof.
Fadillah berkata bahawa setakat ini, hanya seorang Ahli Parlimen, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar), yang telah memberi maklum balas selepas rundingan dibuat.
“Yang hanya memberi jawapan atau respons adalah YB Muar. Beliau telah menghantar e-mel kepada saya dan saya sedang meneliti segala cadangan balas yang dikemukakan. Ini akan dibincangkan dengan Ketua Whip Kerajaan, dan Insya-Allah saya akan memanggil YB Muar untuk berbincang lanjut mengenai perkara yang dikemukakan," katanya.
Beliau menambah, sekiranya terdapat mana-mana Ahli Parlimen yang ingin berbincang dengannya secara individu, beliau terbuka untuk melakukannya. Walau bagaimanapun, secara kelompok, beliau berkata pihak parti pembangkang telah menolak untuk berunding.
“Jadi, saya tidak boleh berbuat apa-apa. Tugas saya adalah untuk berunding. Jika mereka tidak mahu berunding, saya tidak dapat berbuat apa-apa. Oleh itu, saya hanya berunding dengan mereka yang mahu berunding,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025) di peringkat dasar bagi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, pihak pembangkang secara sebulat suara menolak draf Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung peruntukan Ahli Parlimen atas empat sebab utama, termasuk kebimbangan bahawa beberapa syarat dalam dokumen tersebut mungkin bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.
Menyentuh kajian kebolehlaksanaan tenaga nuklear bagi mendukung agenda peralihan tenaga negara, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjelaskan bahawa PETRA, melalui MyPower, sedang menjalankan Kajian Pra-Kebolehlaksanaan Tenaga Nuklear yang dijangka selesai pada akhir Disember 2024.
Beliau berkata kajian yang dilaksanakan itu turut meneliti perkembangan teknologi small modular reactor (SMR), yang sedang giat dibangunkan oleh negara maju, untuk digunakan dalam negara sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai sumber penjanaan elektrik pada masa hadapan.
“Kajian oleh MyPower turut melibatkan aspek perundangan dan kawal selia, di mana ia akan menilai keperluan untuk meminda Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) atau menggubal undang-undang baharu yang lebih komprehensif, dengan mengambil kira keperluan penyertaan Malaysia dalam pelbagai instrumen perundangan antarabangsa yang berkaitan serta pelaksanaan amalan tadbir urus nuklear antarabangsa.
“Jika kerajaan memutuskan untuk menggunakan tenaga nuklear bagi penjanaan elektrik, pelan pembangunan sumber manusia yang menyeluruh akan dilaksanakan bagi memastikan kewujudan tenaga kerja yang mencukupi, berkemahiran tinggi, dan kompeten dalam sektor nuklear,” katanya.
Fadillah juga menjelaskan bahawa teknologi nuklear berpotensi memainkan peranan sebagai beban asas (base load) kerana kadar ketersediaannya yang tinggi, melebihi 85 peratus. Ini mampu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api gas dan menggantikan kapasiti penjanaan elektrik daripada arang batu.
-- BERNAMA