KOTA BHARU, 6 Nov (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap lima gajah liar jantan di Kampung Dendong, Batu Melintang, Jeli hari ini.
Pengarahnya Mohamad Hafid Rohani berkata kesemua gajah liar itu ditangkap selepas pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat mengenai gangguan haiwan liar berkenaan semalam.
"Anggota kami dari daerah Jeli dan Unit Tangkapan Gajah Negeri Kelantan menjalankan operasi bagi menangkap gajah liar hari ini.
"Operasi pemindahan dan pelepasan kesemua lima ekor gajah jantan ini ke kawasan lebih sesuai dan selamat akan dijalankan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tindakan itu melibatkan bantuan petugas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.
Mohamad Hafid berkata tangkapan gajah liar itu sedikit sebanyak melegakan penduduk di kawasan berkenaan seterusnya dapat mengelak kerugian berterusan akibat kemusnahan tanaman dan harta benda disebabkan haiwan tersebut.
"Tindakan tangkap dan pemindahan gajah ini bukan penyelesaian jangka panjang kerana kawasan kebun terbabit terletak berhampiran Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor dan dipercayai anggaran populasi gajah liar berada di HSK itu lebih 50 ekor.
"Penduduk khususnya pekebun perlu mengambil langkah mitigasi seperti memasang lampu LED biru di kawasan dikenal pasti sebagai laluan masuk gajah ke kebun, membersihkan kebun dan tidak dibiarkan semak-samun," katanya.
Beliau berkata orang ramai juga disarankan lebih berhati-hati jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan bahaya pada keselamatan diri.
-- BERNAMA