AM

MEXCLUB Wadah Penting Perkukuh Kerjasama KKDW, Kerajaan Negeri - Ab Rauf

06/11/2024 09:50 PM

MELAKA, 6 Nov (Bernama) -- Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-exco Luar Bandar (MEXCLUB) memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama dan persefahaman antara kementerian tersebut dengan kerajaan negeri.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata penganjuran MEXCLUB yang dilaksanakan dua kali setahun itu membincangkan pelbagai perkara mencakupi aspek perancangan, pelaksanaan dan pencapaian program pembangunan luar bandar.

Beliau berkata MEXCLUB memberi platform kepada Exco luar bandar dari seluruh negara untuk berkongsi idea, mencanai pemikiran, dan memperkasa pembangunan luar bandar di negeri masing-masing.

"Kerajaan Melaka melaksanakan beberapa inisiatif demi kemaslahatan masyarakat desa sekali gus membina kelestarian pembangunan luar bandar, antaranya penubuhan Paramedik. Komuniti (Parakom), Inisiaitf Kampung Digital dan pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal da Vokasional (TVET)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Penyelarasan MEXCLUB di sini malam ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya Datuk Rubiah Wang.

Ab Rauf berkata beberapa inisiatif lain bagi memperkasa kawasan luar bandar di Melaka, termasuk meningkatkan capaian jalur lebar di perkampungan Orang Asli, serta memperkasa sektor pertanian, penternakan, perikanan, dan program Wakil Rakyat untuk Rakyat.

Mesyuarat MEXCLUB kali ini melibatkan 150 peserta termasuk Exco-exco kerajaan negeri yang memegang portfolio luar bandar.

Ini adalah mesyuarat kedua bagi tahun ini, selepas yang pertama diadakan di Sabah pada Mei lepas.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy