AM

UUM Di Kedudukan Ke-79 Dalam Ranking Universiti Terbaiik Asia 2025

06/11/2024 10:43 PM

ALOR SETAR, 6 Nov (Bernama) -- Universiti Utara Malaysia (UUM) terus cemerlang apabila disenaraikan di kedudukan ke-79 dalam QS World University Rankings: Asia 2025 yang diumumkan hari ini, melonjak 22 anak tangga berbanding edisi sebelumnya.

Naib Canselor UUM Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata pencapaian itu didorong peningkatan dalam reputasi akademik yang menunjukkan kepercayaan global terhadap sumbangannya terutama penyelidikan berimpak tinggi selain kejayaan melahirkan siswazah berkualiti.

"Ini adalah pencapaian terbaik UUM sejak 2015. Pencapaian cemerlang ini merupakan sumbangan semua warga UUM khususnya ahli akademik yang komited dalam melaksanakan penyelidikan, pengajaran dan penerbitan bermutu tinggi.

“Lebih manis pencapaian ini diraih ketika UUM menyambut ulang tahun ke-40 sekali gus menunjukkan universiti semakin matang dan mula menyerlah di peringkat Asia dan antarabangsa," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata peningkatan petunjuk Citations per Paper juga membuktikan penyelidikan UUM semakin mendapat pengiktirafan dan menjadi rujukan dalam kalangan penyelidik di seluruh dunia terutama dalam bidang pengurusan sekali gus menyokong visinya untuk menjadi universiti pengurusan terkemuka.

"Dengan pencapaian terbaharu ini, UUM membuktikan komitmen berterusan dalam meningkatkan standard akademik serta penyelidikan seterusnya memperkukuhkan peranannya sebagai antara universiti terkemuka di Malaysia dan Asia," katanya.

QS World University Rankings: Asia 2025 mengguna pakai 11 petunjuk dalam menilai sesebuah universiti antaranya reputasi akademik, reputasi majikan, bilangan kakitangan berkelulusan PhD, rangkaian penyelidikan antarabangsa serta pertukaran mahasiswa dalam dan luar negara.

Sebanyak 984 universiti disenaraikan dalam QS World University Rankings: Asia 2025 dengan 142 daripadanya pertama kali dinilai dan pada edisi ini, QS menganalisis lebih 1.9 juta respons akademik dan 660,000 respons majikan.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy