EKONOMI

Pertemuan Dengan Syarikat Terkemuka Di Shanghai Peluang Malaysia Tarik Pelaburan Berkualiti - PM Anwar

06/11/2024 10:54 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dalam rangka lawatan di China, sempat mengetuai delegasi Malaysia dalam pertemuan satu demi satu dengan empat syarikat terkemuka di Shanghai, sebelum meneruskan lawatan ke Beijing, hari ini.

Perdana Menteri menerusi catatan di laman X berkata sesi bermula dengan pertemuan bersama delegasi Bank of China yang diketuai pengerusinya, Ge Haijiao. 

"Perbincangan kami terkait peluang untuk mengukuhkan kerjasama kewangan Malaysia-China, antaranya mengenai penyelesaian perdagangan mata wang tempatan.

"Ia disusuli dengan delegasi syarikat petrokimia SINOCHEM, diketuai Pengurus Besar Liu Chun, yang menyatakan hasrat mengimport bahan kimia bagi pembuatan produk penjagaan diri, kosmetik dan seumpamanya, selaras keupayaan Malaysia yang mempunyai rangkaian pengilang dan pembekal yang kukuh, terutamanya dalam bidang petrokimia," katanya.

Beliau berkata pertemuan seterusnya adalah dengan SICC Co. Ltd iaitu syarikat yang menerajui industri semikonduktor di China yang turut menyatakan hasrat memperluaskan pasarannya di Asia Tenggara. 

Selain itu, beliau dan delegasi mengadakan pertemuan dengan syarikat SEMCORP, pengeluar filem pemisah litium-ion terbesar di dunia yang mahu meneroka peluang melalui penubuhan hab bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam komponen kenderaan elektrik di rantau ini.

"Alhamdulillah, siri perbincangan ini menggambarkan daya tarikan Malaysia yang semakin meningkat sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif, dan Kerajaan MADANI mahu terus menarik pelaburan berkualiti, sekali gus mencipta lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.

Ini merupakan lawatan sulung Anwar ke Shanghai dan ia merupakan lawatan ketiga perdana menteri ke China.

Perdana Menteri melakukan lawatan sulung beliau ke negara itu pada Mac 2023, diikuti pada September tahun yang sama.

Lawatan kerja empat hari itu akan berakhir di Beijing pada 7 Nov dan ia adalah atas jemputan rakan sejawatannya Li Qiang untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China Ketujuh (CIIE ke-7) di negara itu.

Beliau diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Perdana Menteri dilaporkan telah selamat tiba di Beijing pada 6.10 petang waktu tempatan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy