AM

Proses Pewartaan Pulau Bidong Sebagai Taman Negeri Dijangka Siap Disember

07/11/2024 10:34 AM

KUALA TERENGGANU, 7 Nov (Bernama) -- Proses pewartaan Pulau Bidong di Kuala Nerus sebagai taman negeri keempat Terengganu dijangka selesai Disember ini.

Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman berkata pihaknya sedang giat menyelesaikan segala keperluan dan urusan berkaitan yang melibatkan pelbagai agensi serta jabatan kerajaan.

Beliau berkata selain itu, pihaknya juga telah menyediakan empat renjer terlatih yang akan bertugas menjaga keselamatan pulau berkenaan.

"Walaupun urusan pewartaan belum selesai, kita telah mengambil langkah awal seperti menjalankan beberapa siri program pembersihan pantai dan dasar laut.

“Setiap taman negeri perlu ada renjer untuk menjaga keselamatan dan nilai estetika taman negeri berkenaan," katanya kepada pemberita di sini.

Tengku Mohd Arifin berkata proses pewartaan Pulau Bidong meliputi kawasan daratan seluas 231.3 hektar dan laut iaitu satu batu nautika daripada tikas air surut.

Beliau berkata pihaknya juga akan mengadakan sesi taklimat bersama-sama pihak berkepentingan termasuk nelayan dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang memiliki sebahagian kawasan di pulau berkenaan.

"Walaupun diwartakan, kita perlu juga beri pertimbangan terhadap aspek ekopelancongan. Kita akan kenal pasti plot mana yang boleh buka dan tutup untuk pelancong. Kita tak akan buka semua dan tutup semua. 

"Jadi, kita perlu bincang dan adakan sesi libat urus dengan pihak seperti Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Jabatan Perikanan Malaysia, nelayan dan UMT untuk kenal pasti waktu mana perlu tutup dan buka," katanya.

Pulau Bidong yang pernah menjadi penempatan Orang Hanyut Vietnam selama dua dekad mula dibuka kepada pelancong pada Januari 2017.

Bagaimanapun, ia terhad kepada lawatan harian sahaja manakala pelancong yang mahu bermalam perlu mendapatkan kebenaran Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy