JENAYAH & MAHKAMAH

Lapan Anggota Polis Didakwa Salah Guna Dadah

07/11/2024 02:40 PM

SUNGAI PETANI, 7 Nov (Bernama) -- Lapan anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan masing-masing bulan lepas.

Kesemua tertuduh ialah Lans Koperal Mohammad Muizzuddin Mohamad Taib, 29; Lans Koperal Wan Muneer Abdullah, 36; Sarjan Mohd Khairi Zakaria, 55; Mohd Fazly Long, 45; Koperal Muhammad Azri Zakariya, 35; Lans Koperal G. Selva Kumar, 36; Lans Koperal S. Sarvindran, 28, dan Francis Nawan Johny, 35.

Mereka yang dituduh secara berasingan membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret M. Kalaiarasi dan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan tujuh tertuduh didakwa memasukkan ke dalam badan mereka dadah berbahaya jenis ketamine dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) di Bilik Bawah, Premis 23A, Aman Square di sini, antara 4.20 hingga 7.23 pagi, 2 Okt lepas.

Francis Nawan pula didakwa memasukkan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini, pada 12.25 tengah malam, tarikh sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 15 (1) akta sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 38B akta yang sama.

Sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau dipenjara maksimum dua tahun.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di balai polis terdekat mengikut tarikh ditetapkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hazwani Md Noor dan S. Preeya, manakala mahkamah menetapkan 3 hingga 12 Dis depan untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, tujuh tertuduh merupakan antara individu ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dalam Op Noda di sebuah pusat hiburan di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan 12 pegawai dan anggota polis Kedah didapati positif dadah dalam serbuan terbabit dan mengarahkan kesemua pegawai serta anggota berkenaan digantung tugas.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy