SEREMBAN, 7 Nov (Bernama) -- Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan maut selepas ditemukan tidak sedarkan dalam keadaan terlentang dan kepala mendongak ke atas di dalam buaian ketika berada dalam jagaan pengasuhnya di Kuarters KLIA di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata pihaknya menerima maklumat daripada Klinik Kesihatan Kuarters KLIA kira-kira 12.45 tengah hari berhubung kejadian tersebut selepas pengasuh membawa bayi berkenaan.
Menurutnya siasatan awal mendapati pada 7.30 pagi, pengasuh telah memasukkan mangsa ke dalam buaian setelah dihantar oleh ibu bapanya.
"Apabila pengasuh ingin mengejutkan mangsa untuk dimandikan, dia mendapati bayi itu tidak sedarkan diri dengan keadaan terlentang dan kepala mendongak ke atas. Pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh badan bayi tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata hasil bedah siasat Jabatan Forensik Hospital Rembau turut mendapati tiada sebarang kesan kecederaan dalaman dan luaran terhadap bayi itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Dalam perkembangan berasingan, Abdul Malik berkata seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun ditemukan lemas di air terjun Sungai Mahang, Nilai, semalam.
Beliau berkata mangsa yang bersekolah di sebuah sekolah di Selangor itu bersama empat rrakannya datang ke air terjun tersebut untuk bermandi-manda.
Katanya pemeriksaan fizikal mendapati terdapat kesan darah keluar dari hidung dan tiada sebarang kesan luka atau lebam yang boleh dikaitkan dengan unsur perbuatan jenayah.
“Keputusan bedah siasat mendapati tiada kesan sebarang kecederaan dalaman dan luaran dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
-- BERNAMA