JENAYAH & MAHKAMAH

Lima Video Kemalangan Ditayang Di Mahkamah Dalam Kes DSP Didakwa Bunuh Pelajar

06/11/2024 09:31 PM

IPOH, 6 Nov (Bernama) -- Hari kedua perbicaraan kes pegawai kanan polis DSP Mohd Nazri Abdul Razak yang dituduh membunuh seorang pelajar 17 tahun menyaksikan tayangan lima video memaparkan insiden didakwa menjadi punca kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie pada 15 Dis tahun lepas.

Kesemua video ditayangkan selepas Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memanggil saksi pendakwaan ketiga Pegawai Siasatan Forensik Makmal Polis Diraja Malaysia ASP Nur Fairuz Idris yang menjalankan pemeriksaan dan analisis berhubung rakaman insiden itu.

Rakaman itu antaranya memaparkan sebuah kereta putih yang dipandu laju telah melanggar motosikal ditunggang seorang individu yang kemudian terjatuh di atas jalan raya sebelum dikerumuni orang ramai di lokasi kejadian.

Beberapa video yang dipapar adalah daripada kamera papan pemuka kereta yang menunjukkan insiden selepas mangsa dilanggar selain rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada dua rumah di kawasan berhampiran. 

Nur Fairuz berkata rakaman itu diambil daripada CD-R, memori kad, DVD-R (2) dan kamera papan pemuka bersama kad memori. 

Beliau berkata pihaknya menerima rakaman itu daripada pegawai penyiasat serta diminta untuk memegunkan imej dan sebanyak 24 gambar telah dikeluarkan daripada lima rakaman berkenaan.

Nur Fairuz berkata demikian pada perbicaraan kes Mohd Nazri, 45, yang didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di sini antara 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari pada 15 Dis 2023.

Pegawai kanan polis itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Saksi pendakwaan kelima Koperal Shahiran Mohamad iaitu jurugambar di Bahagian Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pula memaklumkan beliau telah mengambil 35 keping gambar antaranya lokasi kejadian serta kenderaan yang terlibat.

Beliau berkata turut diambil gambar mangsa yang menunjukkan kesan kecederaan di bahagian muka dan tangan kanan serta keadaan jasadnya sebelum bedah siasat di jabatan forensik Hospital Raja Permaisuri, Ipoh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet bersambung esok.

-- BERNAMA


 

KEYWORDS
       
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy