MELAKA, 7 Nov (Bernama) -- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka melupuskan pelbagai jenis dadah dan racun seberat 651,909.85 gram bernilai RM5.28 juta dalam operasi pelupusan di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata pelupusan itu melibatkan barang kes membabitkan 1,921 kertas siasatan dalam tempoh 2002 hingga 2024 dan kesemua barangan berkenaan telah selesai prosiding di mahkamah dan dianalisis Jabatan Kimia.
"Pelupusan barang kes terbabit menggunakan khidmat Kualiti Alam Sdn Bhd memandangkan syarikat berkenaan mempunyai peralatan serta kepakaran dalam urusan melupuskan barangan berjadual," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata JSJN Melaka sentiasa komited serta serius dalam membanteras sebarang aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negeri itu dan memohon kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti itu kepada pihak polis.
Katanya maklumat dan aduan berkaitan aktiviti itu boleh disalurkan ke jabatan berkenaan di talian hotline 012-2087222.
-- BERNAMA